KUALA LUMPUR: Ketua Informasi Nasional Parti Masyarakat India Malaysia (MIPP), M Suthan, membidas pendakwah bebas, Firdaus Wong yang tular dalam satu video memberikan ulasan bagaimana untuk mengislamkan secara kanak kanak dari sekolah dibawah umur tanpa pengetahuan ibubapa.

Beliau menyifatkan tindakan Firdaus yang juga telah memberi tips itu sebagai pengantunan kanak-kanak bawah umur di sekolah.
“Posisi Islam dihormati sebagai agama rasmi dan agama yang boleh didakwah untuk mereka yang berumur lebih 18 tahun, tetapi perlembagaan dan undang-undang Malaysia menyatakan dengan jelas bahawa kanak kanak dibawah umur 18 tahun tidak boleh didakwah atau ditukar agama tanpa pengetahuan dan Persetujuan kedua dua ibubapa.
“Apakah yang akan berlaku selepas ini? Hari ini (jika) kita normalisasikan tukar agama kanak-kanak yang tidak cukup umur, adakah kita akan benarkan perkahwinan dalam kanak-kanak tanpa pengetahuan ibubapa? Ini salah sekali.
“Lebih teruk (lagi) apabila kita dapat tahu (perkara) ini berlaku di sekolah kebangsaan di Malaysia dan dibincangkan secara terang-terangan di media sosial tanpa segan silu,” katanya ketika dihubungi Warta Malaysia.
Beliau juga berkata dalam hal ini kehendak ibu bapa diutamakan dan telah dibuktikan di mahkamah tinggi di negara ini.
“Kanak kanak dibawah 18 tahun tidak cukup umur, matang mahupun kenal dunia sehingga mampu membuat keputusan penting seperti ini.
“Sebagai ibubapa dan juga penjaga di dalam komuniti majmuk, kita perlu pastikan kanak kanak ini dibekalkan ilmu dan pengetahuan asasi dahulu, bukannya ambil kesempatan untuk ‘grooming’ keatas kanak kanak yang tidak matang,” katanya.
Beliau menjangkakan sekiranya perkara berterusan, akan ada defisit kepercayaan dalam komuniti bukan Islam di negara ini. Ribuan ibubapa dari semua negeri, termasuk Sabah dan Sarawak amat sangsi terhadap keselamatan anak perempuan dan anak lelaki mereka di sekolah kebangsaan Malaysia.
“Perkara ini perlu diselesaikan dengan segera dan kewajipan itu ada pada tangan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek untuk mengecam tindakan ini dan melarang aktiviti pengantunan seperti ini di sekolah dengan kadar segera.
“Jika ia dibiarkan berlarutan, Saya percaya perkara ini boleh menjadi isu perkauman yang boleh memudaratkan negara,” katanya.