Majlis Perundingan Pelajar Kebangsaan (MPPK) menyeru semua pelajar Institusi Pendidikan Tinggi Swasta (IPTS) untuk menyertai Perhimpunan Solidariti Palestin yang akan diadakan pada Jumaat, 7 Jun 2024, di universiti masing-masing selepas solat Jumaat.

Menghubungi Warta Malaysia, Naib Presiden (IPTS) MPPK, Aliff Malique Bin Abdul Malek menegaskan, isu Palestin adalah isu global yang melibatkan hak asasi manusia, keadilan, dan keamanan dunia.

“Konflik berterusan di Palestin telah mencipta penderitaan yang berlarutan, dan kita, sebagai generasi masa depan, perlu bangun bersama dalam menyuarakan sokongan kita kepada mereka,” kata Aliff.

Atas tanggungjawab moral, MPPK menyeru semua pelajar IPT untuk bersolidariti dalam menyuarakan keperihatinan terhadap penderitaan yang dialami setiap hari oleh rakyat Palestin.

Perhimpunan ini bertujuan untuk memberikan peluang kepada pelajar untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang isu-isu yang berkaitan dengan konflik di Palestin. Hal ini termasuk hak-hak asasi manusia yang dilanggar dan penindasan yang dihadapi oleh rakyat Palestin.

“Sokongan kita kepada Palestin bukanlah sekadar kata-kata kosong. Ia adalah tindakan nyata untuk mengubah dunia menjadi tempat yang lebih adil dan sejahtera bagi semua orang.

“Dengan menyertai Perhimpunan Solidariti Palestin, kita menegaskan komitmen kita untuk bersama-sama berjuang untuk keadilan dan kebebasan bagi rakyat Palestin,” tegas Aliff.

Menyambut kelantangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang berdiri bersama-sama Palestin, MPPK berharap agar semua pelajar IPTS dapat bersatu dalam perhimpunan ini untuk memperkuat suara mereka dan membawa perubahan positif bagi mereka yang memerlukan sokongan.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia