Tular baru-baru ini, rumah Penduduk Kampung Sri Makmur, Gombak, yang telah diduduki sekian lama dirobohkan pagi semalam. Rata-rata pengguna media sosial bersimpati dengan kejadian yang menimpa penduduk di kawasan tersebut.

Beberapa portal berita melaporkan sebanyak 14 keluarga peneroka bandar daripada Persatuan Perantau Sri Makmur sebelum ini sudah mendapat tawaran rumah Selangorku dan pampasan pemindahan sebanyak RM1,000.

Walau bagaimanapun pemindahan penduduk kampung tersebut telah ditangguh beberapa kali sehingga ke hari ini membuatkan tindakan merobohkan terpaksa dilakukan.

Anak bekas ketua kampung tersebut, Khairul Ariffin Abd Manaf tampil memberikan penjelasan bahawa arahan untuk berpindah telah lama dikeluarkan sejak tahun 2006 lagi.

“Arwah ayah pernah jadi ketua kampung di sini sekitar tahun 2003 sehingga 2004. Arahan berpindah keluar sudah diberikan sejak tahun 2006 dan penempatan semula juga dibuat di Selayang Mulia. Ini bukan isu baru sebenarnya.

“Jualan rumah kepada penduduk yang terbabit adalah pada harga RM35,000. Cuma pada waktu keluarga saya berpindah pada 2007, rumah itu belum siap sepenuhnya,” katanya kepada Warta Malaysia

Katanya lagi kerajaan negeri memberi RM500 sebulan untuk penduduk menyewa di rumah sehingga rumah di Selayang Mulia siap dibina.

“Jadi apabila rumah di Selayang Mulia itu siap sekitar tahun 2008, keluarga saya membeli rumah itu. Rumah Selayang Mulia depositnya dibayar oleh kerajaan pun ada yang tidak mahu terima.

“Mak saya membeli tanah di Kampung Sri Makmur pada 1998 dengan harga belasan ribu daripada individu bernama Pakman kerana kononnya tanah tersebut ada Lesen Pendudukan Sementara (TOL),” katanya.

Bagi mengesahkan indentiti beliau, Khairul mendedahkan ayahnya dikenali oleh penduduk sebagai Cik Manaf dan emaknya dikenali sebagai ‘Kak Hasnah Avon’ kerana membuka butik Avon di Sri Gombak bersebelahan dengan bengkel Uncle Chong berhadapan dengan kedai masakan tomyam Mas.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia