KUALA LUMPUR: Ketua Wanita PKR, Fadhlina Sidek, menilai peluang Dr Joohari Ariffin dari Kerajaan Perpaduan untuk memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Sungai Bakap pada 6 Julai ini sangat cerah.
Menurut beliau, penduduk di kawasan tersebut menghendaki perubahan yang signifikan.
“Masyarakat memerlukan pemimpin berkualiti yang dapat memimpin Sungai Bakap ke arah lebih baik secara holistik termasuk dari aspek pembangunan infrastruktur, ekonomi, sosial, agama, perpaduan dan pendidikan.
“Calon yang diketengahkan Kerajaan Perpaduan iaitu Dr Joohari Ariffin ialah seorang pendidik yang berpengetahuan tinggi dan berpengalaman luas dari segi kepimpinan.
“Beliau adalah anak jati Sungai Bakap yang sudah tentunya memahami denyut nadi masyarakat setempat,” katanya hari ini.
Fadhlina turut menyeru pengundi Sungai Bakap untuk memberikan sokongan penuh kepada calon Kerajaan Perpaduan bagi memastikan agenda pembangunan berjalan lancar.
Sebelum ini, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 6 Julai sebagai tarikh mengundi untuk PRK Sungai Bakap dengan hari penamaan calon pada 22 Jun, sementara pengundian awal dijadualkan pada 2 Julai.
Kerusi Dun itu kosong selepas kematian penyandangnya, Nor Zamri Latiff, 56 tahun, pada 24 Mei lalu akibat komplikasi perut.
Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Pulau Pinang bulan Ogos tahun lepas, Nor Zamri, yang juga Yang Dipertua PAS Nibong Tebal, mengalahkan calon Pakatan Harapan (PH), Nurhidayah Che Rose, dengan majoriti 1,563 undi.