KUALA LUMPUR: Umno terbuka untuk menerima semula anggota dan pemimpin yang setia walaupun mereka pernah digantung, kata anggota Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu, Lokman Noor Adam.

Beliau menyatakan bahawa pemimpin yang setia seperti bekas ahli MKT, Tajuddin Abdul Rahman, sepatutnya dipertimbangkan rayuannya.

“Kita sentiasa terbuka untuk menerima dan mempertimbangkan rayuan daripada mana-mana individu yang ikhlas dan setia untuk bersama dengan Umno,” katanya.

Bagaimanapun, Lokman menegaskan bahawa Umno tidak akan menerima pemimpin yang terus “mencaci dan memaki hamun” parti dari luar, tanpa menyebut nama.

Sebelum ini, rakan sejawatan Lokman, Jalaludin Alias, dan bekas anggota MKT, Armand Azha Abu Hanifah, juga telah membawa isu yang sama, terutama dalam hubungannya dengan bekas perdana menteri Ismail Sabri Yaakob.

Tajuddin telah mengemukakan rayuan untuk kembali menyertai Umno sebanyak empat kali selepas digantung selama enam tahun bermula September 2022, hanya dua bulan selepas dia disingkir dari MKT kerana kenyataannya terhadap Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi.

Mesyuarat MKT Umno dijadualkan berlangsung malam ini di Kuala Lumpur, namun tidak pasti sama ada isu ini akan dibincangkan dalam agenda mesyuarat tersebut.

“Jangan anggap benda ini bukan penting untuk dibincang, perkara ini penting dibincangkan khususnya bagi orang macam Tajuddin.

“Dia pernah beberapa kali nyatakan hasrat nak mati dalam Umno,” katanya lagi.

Selain Tajuddin, antara pemimpin Umno yang digantung keanggotaannya ialah Anggota Parlimen Sembrong  Hishamuddin Hussein dan bekas ketua penerangan Shahril Sufian Hamdan.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia