KUALA LUMPUR: MBSB Bank Bhd berjaya memulangkan kesemua wang yang dikeluarkan secara haram daripada akaun pelanggan yang terjejas di Kota Kinabalu, Sabah.

Menurut Bernama, kejadian itu melibatkan sindiket yang didakwa bersekongkol dengan kakitangan tertentu, yang kini berada dalam tahanan polis.

Mereka disyaki terlibat dalam pengeluaran wang haram yang menggunakan kad pengenalan palsu.

MBSB Bank dalam satu kenyataan pada Isnin, mengesahkan bahawa mereka telah menjalankan semakan dalaman komprehensif yang menggalakkan siasatan awal polis.

Bank tersebut juga aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi memastikan penyelesaian yang pantas dan menyeluruh bagi kes berkenaan.

“Keutamaan kami ialah memastikan keselamatan dan kepercayaan pelanggan kami. Kami bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa untuk memastikan pelaku dibawa ke muka pengadilan,” kata bank itu.

MBSB Bank turut menegaskan komitmen mereka dalam mengekalkan integriti keselamatan perbankan bagi semua pelanggan.

Mereka berjanji untuk terus bekerjasama dengan polis dan pihak berkuasa yang berkaitan bagi memastikan tindakan sewajarnya diambil terhadap mereka yang terlibat.

Siasatan terperinci sedang dijalankan oleh pihak polis untuk mengesan dan mendakwa individu-individu yang terlibat dalam jenayah ini.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia