KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Muar, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dari (Muda), hari ini meminta kerajaan menyenaraikan kenderaan yang layak menerima subsidi diesel.

Dalam sidang media di Parlimen, beliau menyatakan bahawa kenyataan bertentangan dari pihak kerajaan telah menimbulkan kebimbangan di kalangan rakyat.

“Kita tuntut apa kereta yang boleh dapat (subsidi diesel) apa yang tak boleh dapat?

“Kita dengar ucapan YAB perdana menteri, dia katakan kalau gunakan kereta (Toyota) Hilux tak boleh dapat (subsidi), kereta Hilux kereta orang kaya.

“Tetapi realitinya, orang yang gunakan Hilux secondhand, beli secondhand, kosnya baru RM30,000 hingga RM45,000. You can check it online.

“Tetapi pada masa yang sama, kalau kita dengar (ucapan) PM, (pemilik) Hilux boleh dapat juga (subsidi). Jadi tak ada ketentuan,” katanya merujuk ucapan Anwar Ibrahim sebelum ini.

Beliau merujuk kepada kenyataan perdana menteri yang menyebut kereta Toyota Hilux tidak layak menerima subsidi kerana dianggap sebagai kenderaan orang kaya.

Pada 10 Jun yang lalu, subsidi diesel telah dimansuhkan sebagai sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mengurangkan hutang negara, menyebabkan harga diesel kini mengikut pasaran dan dikemas kini setiap minggu seperti RON97.

Kerajaan telah memperkenalkan program Budi Madani untuk memberikan bantuan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian dan flot kad kepada sektor pengangkutan awam serta logistik.

Namun begitu, Syed Saddiq mengkritik langkah kerajaan tersebut kerana tidak memberi masa yang mencukupi kepada rakyat untuk mendaftar ke dalam program tersebut sebelum subsidi dihapuskan.

“Tidak sampai sebulan permohonan dibuka, tapi kerajaan sudah mengapungkan harga diesel dan kemudian diberikan bantuan.

“Seperti dasar-dasar sebelum ini, rakyat perlu menyesuaikan diri beberapa bulan lebih awal sebelum dilaksanakan secara menyeluruh,” katanya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia