KUALA LUMPUR: Semangat patriotisme sepasang suami isteri, Alfi Shahrin Zakaria dan Diana Latief, mendorong mereka untuk mengejar impian menghadiri temasya Sukan Olimpik Paris 2024 dengan cara unik dengan menaiki motor kapcai dari Malaysia.
Pasangan ini yang terinspirasi oleh era kegemilangan ‘The Sidek Brothers’, berharap dapat menyaksikan persembahan wakil negara dalam Sukan Olimpik secara langsung.
Mereka awalnya bermatlamat untuk menghadiri Sukan Olimpik Tokyo 2020, namun wabak COVID-19 menggugat pelan mereka.
Misi mereka menarik perhatian bukan hanya kerana tujuannya yang berani, tetapi juga kerana kenderaan yang mereka gunakan, jentera Honda RSX 150cc, sepenuhnya produk buatan Malaysia.
Menurut Alfi, penggunaan jentera ini adalah untuk membuktikan daya tahan dan kualiti barang buatan Malaysia.
“Kami mahu buktikan bahawa barangan buatan Malaysia boleh tahan lama, dengan penjagaan dan penggunaan yang betul, boleh sampai, walaupun pemikiran masyarakat berbeza.
“Sekarang yang terkenal adalah Datuk Azizulhasni Awang, jadi kami ingin melihat dia jika ada rezeki.
“Pada kami, menang kalah belakang cerita tetapi menyaksikan di depan mata lebih utama. Semangat untuk menyokong pasukan negara lebih utama.” katanya.