KUALA LUMPUR: Setiausaha Agung Umno, Asyraf Wajdi Dusuki, telah mendedahkan bukti yang menunjukkan bahawa Adun Rembia, Jailani Khamis, sebenarnya telah menandatangani perjanjian sebelum bertanding dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Pendedahan ini adalah untuk menafikan dakwaan yang menyatakan Jailani tidak terikat kepada sebarang perjanjian dengan Umno semasa beliau menyertai PAS.
“Ramai terkeliru dengan kenyataan Jailani. Hakikatnya untuk pengetahuan setiap calon mewakili BN, sama ada PRN atau PRU lalu semuanya menandatangani satu perjanjian dinamakan perjanjian perwakilan calon BN”, katanya dalam video di TikTok.
Asyraf turut menyatakan bahawa bukti yang dipamerkan termasuk akuan bersumpah dari Jailani sendiri, yang menetapkan bahawa beliau perlu membayar balik RM100 juta kepada BN jika melanggar perjanjian tersebut.
Dokumen ini telah disahkan dengan setem Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN), disaksikan oleh pesuruhjaya sumpah dan saksi-saksi.
Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, mengumumkan bahawa Jailani telah diterima menyertai PAS pada 10 Jun 2023, sebelum akta antilompat parti dikuatkuasakan di Melaka.
Ketika itu, Ketua Pemuda Umno, Dr. Akmal Saleh, telah mendakwa bahawa Jailani perlu membayar RM100 juta kerana melanggar perjanjian semasa beliau dicalonkan pada PRN Melaka 2021.
Jailani sendiri telah menyatakan bahawa beliau akan mempertahankan diri dan menentang taktik yang dikatakan tidak berperlembagaan oleh Umno.
“Ini tandatangan Jailani paling jelas sekali, selain daripada perjanjian ini juga adanya akuan bersumpah setiap calon”, katanya memaklumkan Umno sedia bawa perkara itu ke mahkamah.
Sementara itu, Jailani dalam kenyataan ringkas memaklumkan sedia mendedahkan dan menentang ‘taktik buruk’ Umno yang tidak selari undang-undang.
“….tidak berperlembagaan demi untuk kebaikan ramai lagi ahli yang lain. Saya bersedia memnbersihkan ini di mahkamah”, katanya.