KUALA LUMPUR: PAS Paya Besar telah melancarkan jentera pilihan raya untuk persiapan Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) yang dijangka akan datang.

Ketua Pemuda Pas Pahang, Mohd Zarimi Abu Zih menegaskan bahawa gerakan pilihan raya perlu diintensifkan seawal mungkin tanpa menunggu saat akhir.

Beliau menyatakan bahawa setiap ceruk dan pelosok kawasan tersebut perlu disusuri, khususnya oleh pemuda dan pemudi Pas, untuk membantu dalam kempen pilihan raya.

“Pasukan kempen pemuda mesti ambil tahu, faham, cakna serta membuat pemantauan secara berkala terhadap sasaran kemenangan masing- masing di setiap Dewan Undangan Negeri (DUN) yang diamanahkan.

“Kenal pasti isu-isu tertunggak, tubuh kembali atau hidupkan cawangan yang lemah, tingkatkan bilangan ahli, ajak kepada penyatuan ummah untuk kuatkan Islam dan kurangkan musuh,” katanya melalui kenyataan pada Sabtu.

Pelancaran jentera pilihan raya Pas Paya Besar berlangsung di Dewan Seminar Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang (Darul Salam) pada Khamis lalu, dihadiri oleh ADUN Panching dan Yang Dipertua Pas Paya Besar, Tarmizi Yahaya, bersama wakil Jabatan Pilihan Raya Negeri serta 300 kader Pas dari cawangan dan kawasan masing-masing.

Mohd Zarimi berkata, dengan motto, ‘Gegar Pahang – Pas Teraju Pahang’ Pas Paya Besar kini siap siaga membina ‘pasukan badar’ mereka bagi menghadapi PRU16.

Kini, tiga DUN di bawah Parlimen Paya Besar diwakili oleh ADUN dari Perikatan Nasional (PN), termasuk Pas di DUN Sungai Lembing dan Panching serta Bersatu di DUN Lepar.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia