KUALA LUMPUR: Jumlah kutipan hasil Cukai Jualan dan Cukai Perkhidmatan (SST) bagi tahun 2024 dianggarkan sebanyak RM44.7 bilion, melebihi sasaran awal sebanyak RM41.3 bilion.

Menteri Kewangan dalam jawapan bertulis di Parlimen berkata bahawa jumlah sebenar kutipan akan dimuktamadkan dalam Penyata Kewangan Kerajaan Persekutuan 2024 kelak.
“Amaun ini adalah lebih tinggi berbanding dengan sasaran kutipan SST sebanyak RM41.3 bilion,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Ahli Parlimen Kapar, Chong Zhemin, dalam soalannya bertanya mengenai jumlah kutipan SST tahun lalu berbanding dengan jangkaan sebelum ini.
Menurut rekod, kutipan SST terus menunjukkan peningkatan sejak pengenalan semula SST pada tahun 2018.
Kutipan SST adalah sebanyak RM5.4 bilion bagi 2018, iaitu dari September 2018 hingga Disember 2018 iaitu sebaik pengenalan semula SST bagi mengantikan cukai barang dan perkhidmatan (GST).
Sejak itu, kutipan SST semakin meningkat setiap tahun, dengan RM27.6 bilion pada 2019, RM25.2 bilion pada 2020, RM25.5 bilion pada 2021, RM31.3 bilion pada 2022, dan RM35.4 bilion pada 2023.