KUALA LUMPUR: Inisiatif Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang bertujuan mengurangkan tempoh waktu menunggu di klinik kerajaan dari tiga jam kepada hanya 30 minit mendapat pelbagai reaksi positif daripada pesakit di beberapa klinik kesihatan sekitar kawasan ini.

Tinjauan mendapati di Klinik Kesihatan Sungai Chua dan Klinik Kesihatan Cheras Baru mendapati perbezaan masa menunggu di kalangan pesakit, namun kebanyakan mereka berpuas hati dengan perubahan tersebut.

Seorang kakitangan swasta, Zacseus Alijk Anak Jang, 26, berkata beliau tidak perlu menunggu lama untuk mendapatkan rawatan selepas kemalangan jalan raya.

Beliau tiba di Klinik Kesihatan Sungai Chua sekitar jam 10.30 pagi dan selesai berjumpa doktor dalam masa kira-kira 30 minit.

“Saya sampai di klinik terus daftar di kaunter pendaftaran, tak lama kemudian saya sudah dipanggil untuk bertemu doktor.

“Rawatan yang diberikan pun sekejap, lebih kurang 20 hingga 25 minit sahaja.

“Saya sudah dua kali datang ke klinik ini untuk dressing luka.

“Layanan yang diberi juga baik, doktor dan staff sangat mesra.

“Tak perlu tunggu lama, berbeza dengan tempat lain yang biasanya ambil masa lebih panjang,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Sungai Chua, di sini, semalam.

Seorang pesara tentera, Raseli Musa, 78, turut menyatakan kepuasan terhadap sistem baru yang dilaksanakan di Klinik Kesihatan Sungai Chua.

“Saya amat berpuas hati dengan sistem yang digunakan kerana tidak perlu menunggu lama lagi untuk bertemu doktor,” katanya.

Beliau yang mendapatkan rawatan untuk kolesterol dan darah tinggi berkata tempoh menunggu untuk bertemu doktor kini lebih cepat berbanding sebelum ini.

“Temu janji saya pada 9 pagi, tapi saya selalunya akan datang seawal 7.30 pagi bagi mengelak sebarang kelewatan. Alhamdulillah, tepat jam 9 pagi, saya dapat bertemu doktor,” katanya.

Raseli percaya inisiatif ini adalah langkah positif untuk meningkatkan kualiti perkhidmatan kesihatan di negara ini.

Bagaimanapun, tidak semua pesakit mengalami pengalaman yang sama. M Parames, 46, seorang tukang jahit, mengadu bahawa beliau terpaksa menunggu hampir satu setengah jam sebelum dapat berjumpa doktor di Klinik Kesihatan Cheras Baru.

“Saya mendapat nombor giliran pada 11.10 pagi, tapi hanya dipanggil ke bilik doktor pada 12.30 tengah hari. Ingatkan selesai sebelum 12 tengah hari, tapi masih perlu menunggu lama.

“Apabila lama menunggu, saya terpaksa bergegas pula ke farmasi mengambil ubat kerana takut terlepas bas untuk pulang,” katanya ketika ditemui di Klinik Kesihatan Cheras Baru, di sini.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia