KUALA LUMPUR: Kerajaan Persekutuan telah memperuntukkan sebanyak RM18.9 juta tahun ini bagi melaksanakan sistem pengurusan digital berasaskan awan (CCMS) di 100 klinik kesihatan di seluruh negara.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad, berkata Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menyasarkan pelaksanaan sistem ini termasuk di 10 klinik di Pulau Pinang, bermula pada tahun ini.
“Setakat ini, sebanyak 50 klinik kita bangunkan dengan CCMS dan Langkawi menjadi lokasi terbaharu dilengkapkan dengan sistem tersebut.
“Hospital Pulau Pinang dan Hospital Seberang Jaya pula akan dibangunkan sistem rekod perubatan elektronik (EMR) pada 2026 disusuli hospital lain seluruh negara selaras perancangan kerajaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13,” katanya pada Majlis Perasmian dan Hari Terbuka Wellness Hub Seberang Perai Utara (SPU) di Klinik Kesihatan Sungai Dua di sini, hari ini.
Pelaksanaan transformasi digital ini bertujuan untuk meningkatkan kecekapan perkhidmatan kesihatan, termasuk mengurangkan masa menunggu pesakit di klinik kerajaan daripada tiga jam kepada hanya 30 minit.
Inisiatif ini adalah sebahagian daripada usaha kerajaan untuk mendigitalkan semua klinik kesihatan dan hospital kerajaan, sekali gus meningkatkan kesiapsiagaan digital serta memperbaiki penyampaian perkhidmatan kepada orang ramai.
Dalam perkembangan lain, Dr Dzulkefly turut mengumumkan bahawa sebanyak 33 Wellness Hub telah dibangunkan di seluruh negara.
Katanya, Wellness Hub mempunyai sejumlah 13 pakej perkhidmatan antaranya saringan faktor risiko kesihatan, saringan kecergasan, runding cara hidup sihat, pengurusan berat badan, klinik berhenti merokok serta program kesihatan mental bagi meningkatkan tahap kesihatan masyarakat secara menyeluruh.