KUALA LUMPUR: Kementerian Komunikasi melalui pemasangan hampir 35,000 titik akses WiFi di institusi pengajian tinggi awam (IPTA) di seluruh negara, bagi menaik taraf capaian internet, dijangka siap menjelang Julai 2025.

Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, berkata usaha ini bertujuan untuk menyediakan kualiti capaian internet yang lebih baik kepada pelajar seiring dengan pengenalan teknologi 5G di Malaysia.

Beliau memaklumkan bahawa pemasangan fasa pertama, yang melibatkan 3,149 titik akses WiFi di tiga universiti awam (UA), iaitu Universiti Malaya (UM), Universiti Sains Islam Malaysia (USIM), dan Universiti Malaysia Perlis (UNIMAP), telah diselesaikan pada Rabu lalu, dengan peruntukan sebanyak RM11.6 juta.

“Kita akan meneliti beberapa perkara dalam fasa pertama ini sebelum kita teruskan dengan fasa kedua yang bakal melibatkan 14 UA termasuk UM, 24 Politeknik dan 43 Kolej Komuniti, dengan anggarannya adalah 31,173 titik akses.

“Kita jangka ia akan bermula pada Mac ini dan secara keseluruhan melibatkan semua lokasi ini, dijangka siap dalam tempoh empat bulan. Pemasangan fasa seterusnya ini menelan belanja RM175.8 juta,” katanya ditemui media selepas meninjau pemasangan WIFI di Kolej Kediaman Zaaba, Univerisiti Malaya (UM) di sini, hari ini.

Turut sama hadir, Naib Canselor UM, Professor Datuk Seri Ir Dr Noor Azuan Abu Osman.

Beliau turut menyampaikan sumbangan 50 buah laptop kepada Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) UM, yang akan diserahkan kepada pelajar yang memerlukan, khususnya mereka yang terkesan akibat banjir baru-baru ini.

Inisiatif pemasangan titik akses WiFi ini merupakan usaha tambahan bagi memperbaiki perkhidmatan internet di kampus-kampus, selain yang telah disediakan oleh pihak universiti.

Ia dilaksanakan berikutan teguran Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengenai masalah capaian internet di institusi pengajian tinggi.

Selain itu, Fahmi turut menyatakan bahawa Kementerian Komunikasi dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) sebelum ini telah memperkenalkan Pakej Rahmah yang menyediakan langganan internet bulanan sebanyak 30GB pada harga 50% lebih murah untuk mahasiswa.

“Tapi maklum balas yang kita terima daripada mereka adalah WIFI kampus itu jaringannya lebih meluas. Jadi, dengan siapnya jumlah hampir 35,000 titik akses WIFI ini menjelang Julai nanti, saya harap ini dapat menyelesaikan masalah internet di semua UA,” katanya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia