KUALA LUMPUR: Kumpulan Simpanan Wang Pekerja (KWSP) dijangka mengumumkan dividen lebih 5.8% bagi simpanan konvensional tahun lalu, berbanding 5.5% yang diumumkan pada tahun 2023.
Kadar dividen untuk simpanan syariah pula diramal antara 5.4% hingga 5.6%, sedikit peningkatan berbanding 5.4% pada tahun 2022, menurut sumber terdekat.
Sumber yang enggan dikenali berkata, angka dividen tersebut dianggap ‘hampir pasti’ dan pengumuman rasmi dijangka dibuat pada awal Mac.
“Kadar berkenaan boleh menjadi yang tertinggi sejak tiga tahun lalu. Purata untuk 10 tahun lalu adalah 6%. Apapun, ia pasti jauh lebih tinggi berbanding tahun lalu,” kata sumber.
Pada tahun 2023, KWSP mengagihkan dividen sebanyak RM50.33 bilion untuk akaun konvensional dan RM7.48 bilion bagi simpanan syariah.
KWSP mempunyai lebih daripada 16 juta ahli, dengan lebih 8.5 juta daripada mereka aktif mencarum.
Sejumlah ahli ekonomi menyatakan kemungkinan dividen bagi tahun 2024 melepasi 6% berdasarkan prestasi kukuh KWSP pada suku ketiga tahun lalu.
Dalam tempoh sembilan bulan pertama 2024, KWSP mencatatkan pendapatan sebanyak RM57.57 bilion, meningkat 20% berbanding RM47.86 bilion pada tahun 2023.
Namun, sumber tersebut mengingatkan pencarum agar tidak mengharapkan dividen yang terlalu tinggi, memandangkan KWSP memberikan dividen berdasarkan pulangan direalisasikan, iaitu keuntungan atau kerugian yang diperoleh selepas pelaburan dijual.
“Ia adalah untung dan rugi diperoleh selepas jualan dan pelaburan, berbanding pulangan tidak direalisasikan, yang mana untung atau rugi pelaburan masih dipegang. Ini dikategorikan sebagai jumlah pulangan.
“KWSP tidak mengasaskan dividen pada jumlah pulangan yang termasuk keuntungan atas kertas, yang kemudian ditentukan prestasi pelaburan,” kata sumber itu menjelaskan pendekatan berhati-hati KWSP.
Sebagai perbandingan, Tabung Simpanan Pekerja Singapura (CPF) mengamalkan pendekatan keuntungan direalisasikan, dan purata dividen mereka dalam tempoh 10 tahun terakhir adalah 4%.