KUALA LUMPUR: Krisis harga santan melambung di Malaysia disebabkan oleh kelapa melawas, diperhebatkan lagi dengan kegiatan penyeludupan kelapa ke Thailand oleh pembekal sejak September lepas.

Pasukan Gerakan Am (PGA) Briged Tenggara terus memperhebatkan Op Taring Wawasan Kelantan dalam usaha membanteras kegiatan penyeludupan kelapa ke Thailand, yang telah dijalankan sejak September 2024, merangkumi beberapa siri tangkapan dan rampasan di sekitar Tumpat dan Pengkalan Kubor, Kelantan.
Terkini, pada 6 Februari 2025, Batalion 7 PGA berjaya menahan lapan buah treler di tiga lokasi berbeza di sekitar Tumpat. Pemeriksaan mendapati anggaran 317 ribu biji kelapa dibawa dari Batu Pahat, Johor, tanpa dokumen pembelian yang sah, dipercayai untuk diseludup ke Thailand melalui pangkalan haram.
Seramai 13 orang pemandu dan kelindan lelaki, berumur antara 19 hingga 70 tahun, ditahan dan disyaki terlibat dalam kegiatan ini. Nilai rampasan dianggarkan RM 8.3 juta, termasuk nilai kenderaan, dan kes disiasat di bawah Akta Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan 1965 (FAMA).
Sebelum itu, pada 5 Disember 2024, Batalion 8 PGA turut menggagalkan cubaan menyeludup kelapa di Kampung Simpangan Tumpat dan Jalan Pulau Ular Pengkalan Kubor Tumpat, Kelantan, dengan rampasan lebih 41,000 Kg buah kelapa daripada treler yang dipandu oleh lelaki tempatan.
Pada 4 September 2024, rampasan turut dilakukan di Pengkalan Kubor melibatkan anggaran 40,000 Kg buah kelapa. Kes ini disiasat di bawah Akta 167 Sek. 17 dan Sek. 5 Akta Kuarantin Tumbuh-Tumbuhan 1978.
Komander Briged Tenggara PGA Datuk Nik Ros Azhan Nik Ab Hamid menegaskan komitmen untuk terus memperketatkan kawalan di sempadan negara.
“Pasukan Gerakan Am akan terus mempergiatkan usaha bagi mengekang kegiatan penyeludupan dari terus berleluasa di sempadan negara,” ujarnya.
Kesemua suspek dan barang rampasan telah dibawa ke Komtak PGA Pengkalan Kubor untuk tindakan lanjut. Peningkatan kes penyeludupan ini menimbulkan kebimbangan mengenai impaknya terhadap bekalan kelapa tempatan dan seterusnya, harga santan di pasaran.
Operasi berterusan ini diharap dapat mengurangkan aktiviti penyeludupan dan menstabilkan bekalan kelapa untuk kegunaan domestik.