KUALA LUMPUR: Usul bagi menyeragamkan beberapa agensi kerajaan akan dibentangkan dan diputuskan dalam mesyuarat Kabinet dalam masa terdekat, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, usul tersebut merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan dalam melaksanakan reformasi institusi yang perlu dilaksanakan.
“Bekas Ketua Setiausaha Perbendaharaan (Datuk Seri Asri Hamidon) sudah saya tugaskan untuk memberi beberapa usul bagi menyeragamkan beberapa agensi dan dibawa kepada Ketua Setiausaha Negara (Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar).
“Saya akan putuskan selepas dibentangkan ke mesyuarat Jemaah Menteri dalam masa singkat,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulanan Kementerian Kewangan di sini, hari ini.
Pada 3 September tahun lalu, Perdana Menteri mengumumkan penubuhan Jawatankuasa Khas Rasionalisasi Badan Berkanun Persekutuan bagi menangani isu pertindihan fungsi badan berkanun dan memberi penjimatan dana negara.
Jawatankuasa tersebut akan memulakan tugasnya serta-merta dalam usaha kerajaan untuk melaksanakan reformasi perkhidmatan awam.
Susulan pengumuman tersebut, Ketua Setiausaha Negara mengumumkan pelantikan Datuk Seri Asri Hamidon sebagai ketua jawatankuasa berkenaan.
Selain itu, Perdana Menteri turut mengarahkan agar mana-mana agensi kerajaan tidak lagi menubuhkan syarikat di bawahnya tanpa kelulusan peringkat tertinggi.
Beliau menjelaskan, terdapat ribuan syarikat yang ditubuhkan oleh agensi kerajaan yang mencatatkan kerugian besar.
“(Jika kita) memutuskan membatalkan (syarikat ini), ia bukan perkara mudah tetapi jika wajib kita lakukan, kita harus lakukan kerana ia memaknai reformasi institusi,” katanya.