KUALA LUMPUR: Kerajaan Negeri Kelantan bersedia mengambil alih pembinaan Terminal Stesen Bas Bersepadu Kota Bharu (KB Sentral) sekiranya rundingan dengan syarikat Perak Transit Bhd (Perak Transit) gagal mencapai kata putus.

Timbalan Menteri Besar Kelantan, Mohamed Fadzli Hassan, berkata keputusan ini dibuat kerana kerajaan negeri berdepan kesuntukan masa untuk memastikan KB Sentral dapat beroperasi seperti yang dirancang pada tahun 2027.
“Kita telah meminta syarikat berkenaan membuat keputusan sama ada mahu meneruskan projek ini tanpa sebarang rundingan lanjut atau menyerahkannya kembali kepada kerajaan negeri.
“Surat telah dihantar untuk mendapatkan jawapan, dan kita telah menetapkan tempoh tertentu untuk projek ini disiapkan. Jika Perak Transit masih cuba berbincang mengenai syarat tambahan, kita akan berikan satu tarikh akhir. Jika masih tiada keputusan konkrit, kerajaan negeri sendiri akan mengambil alih pembinaan ini,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita ketika mengulas perkembangan projek KB Sentral dalam sesi dialog sempena Majlis Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Media di Kota Bharu, malam tadi.
Menurutnya, kerajaan negeri masih bertolak ansur, namun projek tersebut perlu disiapkan segera.
“Kita bukan mahu meremehkan keupayaan Perak Transit kerana mereka telah berjaya melaksanakan banyak projek sebelum ini.
“KB Sentral mempunyai banyak komponen termasuk stesen bas, kompleks beli-belah, kediaman dan sebagainya. Tetapi fokus utama kita adalah memastikan stesen bas disiapkan terlebih dahulu, manakala komponen lain boleh menyusul kemudian,” katanya.