Kerajaan Selangor yakin dapat mencapai sasaran untuk menoktahkan kemiskinan tegar di negeri itu menjelang Julai ini, kata Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari.

Beliau menyatakan keyakinan itu berdasarkan penurunan jumlah keluarga yang masih berada dalam kategori miskin tegar dari 861 kepada 245 keluarga dalam tempoh dua bulan.

“Dengan beberapa inisiatif yang dilaksanakan termasuk pemberian bantuan sebanyak RM300 sebulan kepada golongan berkenaan melalui dana Bantuan Kehidupan Sejahtera Selangor (Bingkas), kita percaya menjelang Julai ini baki miskin tegar itu kita boleh nokhtahkan,” katanya kepada pemberita selepas melancarkan Skim PLATS Biaya.

Amirudin juga menyatakan bahawa Sepang menjadi daerah pertama daripada sembilan daerah di Selangor yang berjaya merekodkan sifar miskin tegar ketika ini.

Untuk mencapai matlamat itu, pihaknya memasukkan keluarga berkenaan sebagai penerima Bingkas yang layak menerima bantuan RM300 sebulan atau RM3,600 setahun.

Amirudin turut menjelaskan bahawa PLATS Biaya merupakan skim pembiayaan khas bagi membantu peniaga yang mengikuti program latihan usahawan atau dikenali sebagai U-PLATS untuk mengembangkan perniagaan melalui bantuan yang disediakan pihak kerajaan negeri.

“PLATS Biaya adalah skim pinjaman bersubsidi iaitu peminjam hanya perlu membayar pinjaman pokok sahaja dengan tempoh pembiayaan adalah selama 12 bulan, sekali gus boleh menjadi pemangkin kepada perkembangan perniagaan peserta U-PLATS pada masa akan datang,” katanya.

PLATS atau Platform Selangor adalah sebuah platform promosi dan direktori digital yang dibangunkan pada 2020 untuk menggerakkan ekonomi peniaga kecil Selangor khususnya ketika pandemik.

Setakat 31 Mei lepas, PLATS telah berjaya mendaftarkan sebanyak 30,781 peniaga.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia