Projek rintis Dasar Gaji Progresif akan bermula pada Jun ini, dengan membabitkan 1,000 syarikat.

Menurut satu kenyataan di X, Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan mengambil inisiatif ini untuk memastikan kenaikan gaji rakyat seiring dengan peningkatan produktiviti, serta untuk mendorong Malaysia mencapai status negara berpendapatan tinggi.

“Projek rintis tersebut terbuka kepada lima sektor iaitu Pembuatan, Pembinaan, Perdagangan borong dan runcit, pembaikan kenderaan bermotor dan motosikal, Maklumat dan komunikasi, serta Aktiviti profesional, saintifik, dan teknikal.

“Proses pemilihan syarikat akan menitikberatkan sokongan dasar, keperluan sektor, dan kesaksamaan. Penilaian terhadap projek rintis ini akan dijalankan pada September. Majikan yang layak, dengan pekerja yang bergaji antara RM1,500 hingga RM4,999, boleh menuntut insentif tunai dari kerajaan,” katanya.

Menurutnya lagi, syarikat yang terpilih akan menerima insentif maksimum RM200 sebulan untuk setiap pekerja peringkat permulaan (entry level) dan maksimum RM300 sebulan untuk setiap pekerja bukan peringkat permulaan (non-entry level).

“Pekerja yang berdaftar di bawah Dasar Gaji Progresif diwajibkan mengikuti kursus atau latihan peningkatan kemahiran selama sekurang-kurangnya 3 hari (21 jam). Garis panduan pelaksanaan dan latihan, boleh didapati di laman web gajiprogresif.gov.my,” katanya

Selanjutnya daripada Warta Malaysia