Polis mengesahkan ancaman bom yang diterima oleh Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan (Motac) awal hari ini adalah tipuan.
Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner A Asmadi Abdul Aziz, berkata berdasarkan siasatan awal, pihaknya mendapati kementerian itu menerima bungkusan mencurigakan yang ditujukan kepada Menteri kementerian itu, Datuk Seri Tiong King Sing.
Menurut News Straits Times, bungkusan mencurigakan itu mengandungi bom palsu, terdiri daripada pemasa, wayar, dan paip polivinil klorida (PVC), menjadikannya kelihatan seperti bom sebenar. Beliau juga mengesahkan bahawa bungkusan itu tidak mengandungi sebarang ancaman, surat, atau objek lain.
“Kami (polis) menerima laporan mengenai bungkusan mencurigakan itu pada jam 3.21 petang dan saya juga menerima panggilan daripada menteri (Tiong) mengenai bungkusan itu. Berdasarkan rakaman kamera litar tertutup (CCTV), ia dihantar oleh seorang lelaki menggunakan perkhidmatan kurier ekspres J&T beralamat di Sungai Buloh pada jam 11.19 pagi,” katanya pada sidang akhbar hari ini.
“Lelaki itu kemudian menggoncang bungkusan tersebut sebelum menghantarnya ke lobi kementerian pada jam 2.45 petang dan kemudian ke tingkat 14, yang diterima oleh seorang pegawai,” tambahnya. Kes disiasat di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dari beberapa sudut termasuk ancaman dan aspek lain yang menjejaskan keselamatan awam, kata A. Asmadi.
Pada masa yang sama, beliau berkata kira-kira 10 pegawai Unit Pemusnah Bom (BDU) polis Putrajaya kemudian ke tempat kejadian untuk mengesahkan ancaman tersebut. Tambahnya, dua ekor anjing penghidu turut dikerahkan ke tempat kejadian untuk membantu siasatan lanjut.
“Berikutan itu, polis akan menyiasat dari semua sudut berkaitan isu keselamatan dan kami tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang terlibat (dalam menyampaikan ancaman bom palsu).
Kami meminta kerjasama daripada sesiapa yang mempunyai maklumat untuk tampil ke balai polis Putrajaya atau mana-mana balai berhampiran (untuk membuat laporan) dan kami berharap tidak akan ada sebarang spekulasi mengenai perkara itu.”
Sementara itu, A Asmadi berkata polis telah meminta pihak pengurusan bangunan untuk meningkatkan keselamatan sambil mengetatkan penyeliaan pihak berkuasa di bangunan tersebut.
“Kami juga telah memaklumkan pengurusan bahawa mana-mana bungkusan yang dialamatkan kepada menteri mesti mengikut prosedur operasi standard (SOP).”
Sebelum ini, Motac dilaporkan telah menerima ancaman bom di tingkat 14, menyebabkan pemindahan sekitar jam 4.30 petang. Kakitangan dan pelawat Motac diarahkan meninggalkan premis sebagai langkah berjaga-jaga.
Penolong Kanan Naib Presiden Astro Awani, Zaiful Mohd Ariffin, yang hadir untuk mesyuarat di bangunan tersebut, berkongsi butiran kejadian itu.