KUALA LUMPUR: Polis Subang Jaya menahan seorang lelaki kerana didakwa melakukan perbuatan tidak senonoh dengan menunjukkan alat sulit kepada seorang wanita di stesen transit aliran ringan (LRT) SS15 Isnin lalu.

Mangsa telah membuat laporan polis di Balai Polis Subang Jaya pada 7 Jun lepas.

Menurut Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat, kejadian berlaku ketika mangsa sedang menunggu bas dan melihat suspek yang menunggang motosikal melakukan perbuatan tersebut.

“Kejadian berlaku ketika dia berada di tempat menunggu bas sebelum melihat suspek yang menunggang motosikal melakukan perbuatan tidak senonoh,” katanya.

Anggota polis yang sedang menjalankan tugas cegah jenayah telah menahan suspek pada jam 8.15 malam di Jalan SS17/2.

“Suspek yang mempunyai rekod jenayah lampau telah mengaku terlibat dalam kes tersebut.

“Suspek mengaku terbabit dalam kes disiasat di mana melakukan perkara tidak senonoh itu kepada mangsa di tempat menunggu bas,” katanya.

Suspek kemudian dibawa ke rumahnya di Bandar Sunway di mana motosikal dan pakaian yang digunakan semasa kejadian dirampas.

Siasatan sedang dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan dan Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955. Suspek kini direman bagi membantu siasatan lanjut.

Wan Azlan menasihati orang ramai untuk segera melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada pihak polis untuk tindakan sewajarnya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia