KUALA LUMPUR: Majlis Olimpik Malaysia (MOM) telah mengumumkan rekaan baharu bagi pakaian rasmi kontinjen negara untuk Sukan Olimpik Paris 2024, menampilkan corak belang harimau yang lebih garang.
Presiden MOM, Norza Zakaria, menyatakan bahawa perubahan ini dibuat berdasarkan maklum balas yang bercampur baur terhadap reka bentuk sebelumnya yang tidak menyerlah.
Corak baharu ini menampilkan latar belakang hitam dengan belang harimau kuning yang lebih jelas dan besar di bahagian depan dan belakang jaket.
“Kami percaya bahawa rekaan baharu ini dapat menggambarkan semangat harimau yang telah menjadi identiti kontinjen Malaysia sejak kali pertama diperkenalkan pada Sukan SEA Manila 2005,” katanya.
Turut ditekankan, rekaan terbaru ini juga menampilkan logo MOM bersama Jalur Gemilang dalam warna asal, berbeza dengan logo sebelumnya yang menggunakan warna emas.
Norza menegaskan bahawa MOM berharap pakaian rasmi terbaru ini dapat memotivasikan atlit-atlit Malaysia untuk memberikan prestasi terbaik di peringkat antarabangsa.