Ahad, 8 November 2026
TERKINI

Banjir diramal landa Kuantan, Pekan dan Rompin dari 8 hingga 11 November

KUANTAN: Pusat Ramalan dan Amaran Banjir Nasional (PRABN) Jabatan Pengairan dan Saliran meramalkan daerah Kuantan, Pekan dan Rompin berkemungkinan dilanda banjir, terutama di kawasan panas, kawasan rendah dan lokasi berisiko, dari Ahad (8 November) hingga Rabu.

PRABN berkata ramalan itu dibuat susulan amaran hujan berterusan tahap waspada yang dikeluarkan Jabatan Meteorologi pada pukul 4.30 petang Ahad.

Di Kuantan, kawasan yang dijangka terlibat ialah Lembangan Sungai Kuantan, iaitu Sungai Kuantan, Sungai Lembing, Sungai Kenau, Sungai Beserah, Sungai Belat dan Sungai Soi.

"Turut terlibat ialah Lembangan Sungai Cherating (Sungai Cherating), Lembangan Sungai Pahang (Sungai Lepar) dan Lembangan Sungai Penor (Sungai Penor)," menurut kenyataan itu.

Bagi daerah Pekan, kawasan terlibat ialah Lembangan Sungai Bebar (Sungai Bebar), Lembangan Sungai Miang (Sungai Miang) dan Lembangan Sungai Pahang (Sungai Pahang, Sungai Pahang Tua dan Sungai Mentiga). Lembangan Sungai Mercung (Sungai Mercung) turut disenaraikan.

Di Rompin pula, ramalan melibatkan Lembangan Sungai Endau (Sungai Endau dan Sungai Anak Endau), Lembangan Sungai Rompin (Sungai Rompin, Sungai Pukin, Sungai Kepasing, Sungai Keratong, Sungai Jeram, Sungai Gayong, Sungai Chanis dan Sungai Buan) serta Lembangan Sungai Pontian Pahang (Sungai Pontian Pahang).

"Banjir yang diramalkan mungkin berlaku lebih awal atau lewat daripada jangkaan. Amaran ini dikeluarkan supaya semua penduduk, terutama di kawasan mudah banjir, sentiasa berwaspada dan mematuhi arahan pihak berkuasa atau agensi pengurusan bencana banjir," menurut kenyataan itu.

TopikBanjirKuantanPekanRompinPRABN

Foto: Robert Lamb / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)

Berita berkaitan