Tujuh tahun tanpa bekalan elektrik, Ahli Parlimen Sipitang desak kementerian siasat projek terbengkalai

SIPITANG: Ahli Parlimen Sipitang, Matbali Musah, menggesa Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah menyiasat projek bekalan elektrik sistem hibrid solar yang dikatakan terbengkalai sejak tujuh tahun lalu.
Beliau berkata, projek itu terbengkalai walaupun diberi sembilan lanjutan masa, menyebabkan penduduk tujuh kampung terpaksa bergantung pada lampu solar dan set penjana.
"Saya menuntut kementerian menyiasat. Walaupun saya berulang kali membangkitkan isu kekurangan bekalan elektrik ini sejak sekian lama, jawapan lisan dan bertulis yang diterima gagal menggariskan tindakan konkrit dan tegas," katanya seperti dipetik akhbar Daily Express.
Menurut Matbali, kekurangan bekalan elektrik menjejaskan 287 isi rumah dengan 2,073 penduduk di enam kampung di Malamam sahaja.
Beliau turut menggesa kementerian segera meneliti kekurangan kemudahan asas yang telah lama dihadapi penduduk di kawasan Parlimen itu.
Selain itu, beberapa projek bekalan air luar bandar masih belum dilaksanakan, sekali gus menjejaskan 7,319 penduduk daripada 1,219 isi rumah di 21 kampung di Sipitang yang sudah bertahun-tahun tidak mempunyai akses mencukupi kepada air bersih.
Matbali berkata, jawapan bertulis kementerian bertarikh 6 November 2024 menyatakan projek itu berada pada peringkat pelantikan perunding utama, namun pelaksanaan masih belum bermula.
"Kami mahu kementerian menjelaskan status terkini projek bekalan air ini, peruntukan yang diberikan, halangan yang menyukarkan pelaksanaan dan bila penduduk boleh menjangkakan bekalan air bersih," katanya.
Pihak kementerian belum memberikan maklum balas setakat ini.
Foto: Vyacheslav Argenberg / Wikimedia Commons (CC BY 4.0)




