KUALA LUMPUR: Parti Gerakan hari ini mendakwa bahawa langkah Kerajaan menurunkan harga telur sebanyak 3 sen adalah sekadar gula-gula untuk menarik undi semasa Pilihan Raya Sungai Bakap, tanpa mempertimbangkan kepentingan rakyat paling miskin.

Presiden Parti Gerakan, Datuk Dr Dominic Lau Hoe Chai, berkata beliau ragu terhadap niat sebenar kerajaan yang baru-baru ini menambah subsidi sebanyak RM100 juta atau setara 10 sen bagi setiap telur kepada pengeluar.

Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa manfaat yang diterima oleh rakyat hanya sebanyak 3 sen, sedangkan baki 7 sen adalah keuntungan yang dinikmati oleh pengeluar.

“Pada pendapat saya, langkah tepat adalah kerajaan harus memastikan produktiviti telur meningkat dari semasa ke semasa ia boleh membantu dari segi permintaan dan mengurangkan penawaran sekali gus harga telur dapat dikekalkan atau turun.

“Kedua, adakah ini dipanggilkan mekanisme komprehensif daripada Madani untuk turun harga barang? Inikah pengumuman khas mengenai mekanisme barang keperluan yang digembar-gemburkan jurucakap Kerajaan Madani, Fahmi Fadzil,” tanya beliau.

Menurut Dominic, penurunan harga yang kecil ini tidak menjamin harga telur akan kekal rendah pada masa akan datang.

Dominic turut menggesa Kerajaan Madani untuk mengimplementasikan pakej ekonomi berjumlah RM4 bilion sebagai alternatif kepada peningkatan subsidi, yang menurutnya akan lebih berkesan dalam jangka panjang.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia