KUALA LUMPUR: Selepas mendirikan rumah tangga selama lebih tujuh tahun, pasangan selebriti, Nora Danish dan Nedim Nazri akhirnya bersetuju untuk berpisah secara baik menerusi prosiding di Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan, Jalan Duta pada 19 Jun 2024.

Memetik laporah Berita Harian, Nedim melafazkan talak satu di hadapan Hakim Syarie, Abdul Fattah Datuk Kamarudin pada jam 8.34 malam. Nedim hadir tanpa peguam, manakala Nora diwakili peguam syarie, Ahmad Badri Idris.

Ketika ditemui selepas prosiding, Nora atau nama sebenarnya Nora Mohd Danish Hanif, 42, mengharapkan orang ramai mendoakan yang terbaik untuk mereka dan keluarga.

Beliau menegaskan kepentingan membesarkan anak-anak dengan kasih sayang dan positif. Manakala Nedim atau Mohamed Nedim Mohamed Nazri, 41, enggan mengulas lanjut.

“Apa yang paling penting, tujuan kami untuk membesarkan anak-anak dengan penuh kasih sayang dan positif. Jadi, saya harapkan anda mendoakan yang terbaik buat kami dan keluarga.

“Saya harap tiada teori mengenai perpisahan kami. Ini kerana kami sangat mementingkan keharmonian kedua-dua keluarga dan anak-anak,” katanya Nora Danish ditemui BH Online.

Sebelum ini, pada 29 April 2024, Nora mendedahkan rumah tangga dengan Nedim yang dibina sejak 2017 bergolak. Beliau mengaku berusaha menangani situasi agar tidak memberi kesan negatif kepada anak.

Nora dan Nedim mendirikan rumah tangga pada 30 Mac 2017 dan dikurniakan seorang anak lelaki, Mohamed Neqayl, 6 tahun.

Sebelum itu, Nora pernah berkahwin dengan Datuk Rizal Ashram Ramli dan mempunyai anak lelaki, Putra Rayqal, 15 tahun sebelum bercerai pada 2008.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia