KUALA LUMPUR: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) mengalu-alukan cadangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk membawa masuk sukarelawan guru bahasa Inggeris dari Singapura bagi membantu meningkatkan penguasaan bahasa tersebut di kawasan pedalaman, termasuk Sabah dan Sarawak.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek menegaskan bahawa lantikan sukarelawan ini tidak akan menambah bebanan kos, sebaliknya ia adalah tanda kerjasama yang erat antara Malaysia dan Singapura dari segi diplomatik.
Menurutnya, kerajaan Singapura akan menanggung kos bagi khidmat sukarelawan guru tersebut.
“Inisiatif ini memberi peluang kepada murid, guru dan pihak sekolah untuk mendapat pendedahan amalan pengajaran dan pembelajaran (PdP) dan inovasi yang baik.
“Inisiatif sebegini sememangnya sentiasa dilaksanakan KPM dengan melibatkan pertukaran guru dari negara maju seperti Korea, Australia dan Amerika Syarikat,” katanya ketika ditemui pemberita di sini, pada Khamis.
Fadhlina menjelaskan perkara ini semasa merasmikan Pelancaran Program Sekolah Pengajar dan Memartabatkan Bahasa Melayu dan Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI): Sahabat Bahasa Institut Pendidikan Guru Malaysia di Sekolah Kebangsaan Sungai Bakap.
Pada 12 Jun lalu, Malaysia sedang berbincang dengan Singapura mengenai kemungkinan negara itu menghantar guru-guru untuk mengajar Bahasa Inggeris dan subjek lain di beberapa lokasi di Malaysia.
Anwar sebelum ini menyatakan perkara tersebut berlaku semasa pertemuan empat mata dengan Menteri Pendidikan Singapura, Lawrence Wong di Seri Perdana.
Beliau menjelaskan, cadangan ini dilontarkan oleh Malaysia jika Singapura mempunyai program sukarelawan untuk menghantar siswazahnya ke kawasan miskin di bandar, pedalaman, Sabah, dan Sarawak.