KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Bachok, Syahir Sulaiman, mempersoalkan kaedah penyaluran bantuan subsidi diesel atau Budi Madani menerusi kaedah “sama rata” tanpa mengambil kira faktor seperti pendapatan, tujuan penggunaan, lokaliti, jarak, dan jenis enjin kenderaan.

Beliau juga meminta Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menjelaskan sama ada kaedah yang sama akan digunakan untuk bantuan subsidi petrol (Padu Madani) serta tujuan berkongsi data peribadi yang bersifat ‘unik & identikal’ dalam sistem Padu & Budi.

“Persoalan saya, mengapa bantuan RM200 Budi Madani ini diberikan secara ‘pukul rata’ (flat rate) – tanpa mengira tahap pendapatan, tujuan penggunaan, lokaliti dan jarak, serta jenis dan kuasa enjin kenderaan, bagi setiap pemilik yang layak?

“Persoalan saya, adakah kaedah penyaluran secara sama-rata (flat rate) juga akan digunakan untuk pemberian bantuan subsidi petrol (PADU Madani), diandaikan RM100 sebulan, bagi setiap isi rumah yang layak?” soal Syahir dalam satu kenyataan hari ini.

Syahir memberi contoh dua individu dengan pendapatan yang sama tetapi komitmen yang berbeza.

Beliau menyatakan bahawa Encik Razifi dan Encik Lim, yang masing-masing memiliki pendapatan bulanan RM3,000, model kenderaan yang sama, serta bekerja dan tinggal berdekatan, tetapi jumlah anak dan tanggungan mereka berbeza.

Encik Razifi mempunyai lima orang anak yang masih bersekolah, manakala Encik Lim hanya mempunyai seorang anak.

Syahir mempersoalkan sama ada bantuan subsidi petrol (Padu Madani) yang akan diberikan kepada mereka, akan ditetapkan pada nilai yang sama-rata (flat rate) atau mengikut keperluan dan tanggungan yang unik dan identikal.

Beliau menekankan bahawa adakah jumlah bantuan tersebut mencukupi atau tidak merupakan topik perbincangan yang berasingan.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia