Kuala Lumpur: Enam wakil rakyat Bersatu dan seorang Adun telah diserahkan notis terhenti keahlian mereka atas pelanggaran Fasal 10.4 terhadap Perlembagaan parti.
Menurut Sinar Harian, Setiausaha Agung Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, mengesahkan penyerahan notis itu telah dilakukan selaras dengan arahan MPT Bersatu dan telah dimaklumkan kepada Majlis Tertinggi PN yang bermesyuarat pada Selasa.
“Bagi kes Datuk Dr Suhaili Abdul Rahman (Ahli Parlimen Labuan) pula, keahlian beliau telah terhenti serta-merta menurut Fasal 10.2.6 Perlembagaan.
“Notis terhenti secara serta-merta keahlian telah dihantar kepada beliau lebih awal iaitu pada 17 Mei 2024,” katanya menerusi kenyataan pada Rabu.
Antara yang terlibat termasuklah enam ahli Parlimen dan seorang ADUN seperti Dr Suhaili Abdul Rahman, Syed Abu Hussin Hafiz, Zahari Kechik, Mohd Azizi Abu Naim, Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid, Dr Zulkafperi Hanafi, dan Abdul Rashid Asari.
Dalam kenyataannya, Datuk Seri Hamzah Zainuddin, yang juga Ahli Parlimen Larut, menegaskan bahawa semua proses yang berkaitan telah dilakukan mengikut Perlembagaan parti dan undang-undang negara, termasuklah Perkara 49 (A) Perlembagaan Persekutuan serta undang-undang kerajaan negeri yang terlibat.
Beliau menjelaskan bahawa langkah ini diambil setelah enam ahli Parlimen dan seorang Adun Bersatu gagal menjawab surat arahan bertulis dari MPT parti.
Sebelum ini, media melaporkan insiden di mana keahlian mereka digugurkan serta-merta atas kegagalan tersebut.