Pemanis Xylitol, yang sering digunakan dalam makanan rendah gula dan produk pengguna, kini dikaitkan dengan peningkatan risiko serangan jantung, strok, dan kematian jika diambil secara berlebihan.

Pengarah Pusat Diagnostik dan Pencegahan Kardiovaskular di Institut Penyelidikan Lerner Klinik Cleveland, Dr Stanley Hazen, mengesahkan perkara ini.

Beliau menekankan bahawa penggunaan Xylitol telah meningkat, terutamanya dalam produk gula tiruan.

Penyelidikan menunjukkan bahawa Xylitol boleh menyebabkan platelet darah membeku lebih mudah, meningkatkan risiko gumpalan darah yang boleh menyebabkan serangan jantung atau strok.

Dr Matthew Tomey dari Hospital Jantung Mount Sinai Fuster di New York menyatakan bahawa gumpalan darah yang disebabkan oleh Xylitol boleh berpindah ke jantung atau otak, menyebabkan masalah kardiovaskular yang serius.

Walaupun hasil kajian menunjukkan perbezaan dalam tingkah laku platelet selepas pengambilan Xlitol, namun belum cukup untuk membuktikan hubungannya secara klinikal.

Ramalan oleh Persatuan Jantung Amerika menyebut bahawa sekitar 61 peratus orang dewasa di Amerika Syarikat akan mengalami penyakit kardiovaskular menjelang 2050.

Namun, persatuan industri menentang hasil kajian tersebut, mengatakan bahawa bukti saintifik selama berdekad-dekad telah menyokong keselamatan pemanis rendah kalori seperti Xylitol.

Walau bagaimanapun, Pertubuhan Kesihatan Sedunia memberi amaran pada 2023 untuk mengelakkan penggunaan pemanis tiruan untuk penurunan berat badan, dan menyeru untuk penyelidikan tambahan mengenai kesan toksik jangka panjang pemanis rendah kalori.

Oleh itu, pengguna perlu berhati-hati dan menyedari potensi risiko kesihatan yang berkaitan dengan penggunaan xylitol dan pemanis rendah kalori lainnya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia