Pengunduran PH daripada kerajaan negeri tidak dijangka, kata Rauf

MELAKA: Pengerusi BN Melaka yang juga Ketua Menteri berkata pengunduran wakil Pakatan Harapan (PH) daripada pentadbiran negeri adalah sesuatu yang tidak dijangka.
Beliau berkata, wakil PH diberi peluang menyertai pentadbiran negeri sejak awal pelantikannya sebagai ketua menteri pada Mac 2023.
"Semua dasar kerajaan digubal secara adil, tanpa berat sebelah politik. Tetapi mereka memutuskan untuk meletak jawatan daripada Exco negeri, sesuatu yang tidak kami jangka atau minta berlaku," katanya kepada pemberita.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pengunduran itu tidak menjejaskan keupayaan pentadbirannya meneruskan khidmat kepada rakyat. "Tanpa mereka, kami masih boleh terus berkhidmat kepada rakyat."
Lima Adun PH Melaka menarik diri daripada pentadbiran negeri pada 16 Julai berikutan pindaan perlembagaan yang membenarkan pelantikan sehingga tujuh Adun tidak dipilih.
Mereka ialah Adly Zahari (Bukit Katil), Allex Seah (Kesidang), Kerk Chee Yee (Ayer Keroh), Low Chee Leong (Kota Laksamana) dan Leng Chau Yen (Bandar Hilir). Seah meletak jawatan sebagai Exco Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Hal Ehwal Pengguna, manakala Kerk melepaskan jawatan Timbalan Speaker. Low dan Leng pula meletak jawatan sebagai timbalan exco.
Ditanya mengenai pencapaiannya sebagai ketua menteri, beliau berkata kejayaan pentadbirannya tidak wajar diukur berdasarkan skala projek, sebaliknya sejauh mana masalah rakyat diselesaikan.
Menurutnya, kerajaan negeri mengenal pasti masalah penduduk menerusi aduan yang dikumpulkan jawatankuasa pembangunan dan penyelarasan kawasan DUN, yang kemudian disahkan oleh ketua kampung dan pejabat daerah sebelum tindakan diambil oleh Adun dan exco berkenaan.
Antara isu yang ditangani ialah jalan kampung yang belum berturap, ketiadaan lampu jalan serta penyediaan lampin dewasa dan susu untuk pesakit terlantar. Pendekatan sama digunakan bagi menangani masalah sekolah, menyokong aktiviti pertanian serta memenuhi keperluan nelayan dan penternak kecil.
"Jangan tanya saya tentang pencapaian besar. Pencapaian besar ialah kita menyelesaikan masalah rakyat," katanya. "Itu memberi kepuasan paling besar kepada saya... apabila mereka yang memerlukan bantuan menerimanya."




