KUALA LUMPUR: Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli, menegaskan bahawa langkah penyasaran subsidi bukanlah untuk menyusahkan rakyat, tetapi adalah usaha untuk memperkukuhkan ekonomi negara. 

Beliau mengakui bahawa jika langkah ini tidak dilaksanakan dengan segera, unjuran ekonomi negara akan menjadi lebih teruk.

Menurut Rafizi, ketirisan dan penyeludupan bahan subsidi seperti diesel telah merugikan negara dengan kerugian sehingga RM52 bilion.

“Baik kita bagi subsidi kepada keluarga yang betul-betul susah dan memerlukan daripada kita subsidi itu disalah guna,” katanya dalam Podcast Yang Bakar Menteri Episod 4 pada Isnin.

Beliau berkata demikian ketika menjawab pertanyaan blogger Salim Iskandar atau lebih dikenali sebagai Parpukari yang mendakwa langkah penyasaran subsidi hanya akan menyusahkan rakyat.

Beliau menjelaskan bahawa golongan kaya sering menggunakan subsidi diesel untuk beberapa kenderaan, manakala golongan kurang berkemampuan hanya memiliki motosikal.

“Tapi golongan yang bawah ini dia ada motor sahaja, sebulan dia dapat berapa sahaja tapi kerajaan tetap belanja besar, ada baiknya ambik duit itu dan alihkan kepada keluarga-keluarga yang lebih layak.

“Sebab dengan cara itu sahaja ekonomi negara dapat dirancakkan kerana dan boleh mengurangkan hutang,” katanya.

Langkah penyasaran subsidi juga disokong dengan pelaksanaan Sistem Target Sasaran Sosial (STR), yang membolehkan bantuan yang lebih tepat sasaran kepada keluarga miskin.

“Oleh kerana STR diberikan kepada setiap individu jadi setiap isi rumah dua, tiga orang boleh dapat dengan kadar STR dinaikkan dan rekod menunjukkan ada keluarga miskin boleh dapat bantuan STR mencecah RM6,000,” katanya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia