KUALA LUMPUR: Datuk Seri Anwar Ibrahim mengucapkan terima kasih kepada PAS atas pemahaman mereka terhadap keperluan penyasaran subsidi diesel, seperti yang dijelaskan dalam kenyataan baru-baru ini.
Beliau menegaskan bahawa semua perdana menteri dari pelbagai parti politik sebelum ini juga setuju tentang keperluan untuk mengurangkan ketirisan fiskal dengan mengecilkan subsidi kepada golongan yang berkemampuan.
Anwar mengakui bahawa walaupun penyasaran subsidi yang sedang dilaksanakan di bawah pimpinannya masih mempunyai kelemahan, ia sedang diperbaiki secara beransur-ansur.
“Saya (rasa) aneh kalau digunakan (isu subsidi) sebagai isu politik kerana semua parti politik setuju, dan saya ucap terima kasih kerana Setiausaha Agung PAS (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) sudah keluarkan kenyataan yang maknanya dia faham.
“Kerana dia pun pernah umumkan di Parlimen cadangan kerajaan pada ketika itu untuk naikkan harga diesel, tetapi kita dalam kerajaan madani ini naikkan tapi tidak membabitkan rakyat.
“Ketirisan banyak apabila kita bagi sekarang subsidi kepada yang maha kaya dan 3.8 juta orang asing yang tak bayar cukai. Tetapi bila dilaksanakan (penyasaran subsidi) saya percaya tidak akan sempurna sepenuhnya, ada beberapa kelemahan, dan kita cuba (perbaiki),” katanya.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap sempena Majlis Pelancaran Pelan Induk KIGIP yang diadakan di Dewan Dato’ Zainal Abidin hari ini.
Turut hadir dalam majlis tersebut adalah Timbalan Perdana Menteri II, Datuk Seri Fadhilah Yusof; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz; Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad; dan Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow.
Beliau turut menekankan bahawa isu subsidi tidak sepatutnya digunakan sebagai isu politik, kerana pendekatan ini mendapat sokongan daripada semua parti politik.
Beliau menjelaskan bahawa walaupun pelaksanaan penyasaran subsidi tidak sempurna dan masih terdapat kelemahan, langkah ini perlu dilakukan untuk mengelakkan penganiayaan terhadap kewangan negara.
“Seperti RM4.5 bilion yang dapat kita jimatkan menerusi penyasaran subsidi tarif elektrik sebelum ini yang turut boleh dinikmati golongan ‘maha kaya’ selain 3.8 juta warga asing,” katanya.
Anwar juga menegaskan bahawa kerajaan sedang memantau pelaksanaan subsidi tersebut bagi memastikan ia tidak disalahgunakan untuk menaikkan harga barang dan perkhidmatan kepada rakyat.