Rafizi disiasat atas dua laporan polis selepas beri keterangan di Bukit Aman

KUALA LUMPUR: Bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, berkata beliau sedang disiasat atas dua laporan polis berasingan selepas selesai memberi keterangan di Bukit Aman pada Selasa.
"Saya disiasat atas dua laporan polis berasingan melibatkan kes berbeza. Satu berkenaan ucapan di Selayang, seperti yang kita semua tahu, melibatkan dakwaan bayaran RM9.5 juta dan mafia korporat," katanya kepada pemberita.
Rafizi berkata polis turut memaklumkan bahawa satu lagi laporan polis yang dibuat pada Mac juga perlu disiasat. Laporan itu berkaitan isu pemilikan saham melibatkan bekas Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki.
Menurut beliau, siasatan ke atas ucapan di Selayang dijalankan mengikut Seksyen 500 dan 505 Kanun Keseksaan, manakala laporan berkaitan pemilikan saham Azam disiasat di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan serta Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.
Rafizi berkata kedua-dua sesi rakaman keterangan berjalan lancar, tetapi enggan mengulas lanjut kerana keterangannya kini menjadi sebahagian bahan bukti siasatan.
"Saya tidak boleh mengulas secara terperinci kerana sebaik sahaja keterangan saya dirakam, ia menjadi bukti dan bahan siasatan yang dipegang pasukan penyiasat," katanya.
Pengasas bersama Bersama itu tiba di Bukit Aman pada 10.57 pagi, ditemani tiga peguam, Nik Zarith Nik Mustapha, Adi Zulkarnain Zulkafli dan Wan Ahmad Qushairi Adzmi.
Pada Isnin, Rafizi mengesahkan dalam kenyataan media bahawa beliau menerima notis daripada Bukit Aman supaya memberi keterangan susulan laporan polis yang dibuat pada 22 Oktober berhubung ucapannya di Selayang pada 20 Oktober.
Notis polis itu antara lain berkaitan kenyataan beliau dalam ucapan tersebut mengenai dakwaan "mafia korporat" dan bayaran RM9.5 juta kepada seorang pemimpin politik.
Foto: Firdaus Latif / Wikimedia Commons (CC BY-SA 2.0)




