KUALA LUMPUR: Angkatan Muda Keadilan (AMK) menolak dakwaan mengenai kewujudan masalah dalaman di antara sayap pemuda Parti Keadilan Rakyat (PKR) dengan pemuda UMNO.

Ketua AMK, Adam Adli Abd Halim menjelaskan bahawa perbezaan pendapat dalam arena politik adalah perkara biasa.

“Tidak ada masalah… itu perkara biasa,” katanya kepada media selepas menghadiri program Kembara Jumpa Orang Muda (JOM) Peringkat Negeri Pahang 2024 di Dewan Datuk Sri Abdul Manan Ismail di sini hari ini.

Beliau memberikan komen tersebut ketika diminta mengulas mengenai pertukaran kenyataan antara AMK dan Pemuda UMNO selepas Pilihan Raya Kecil Sungai Bakap pada 6 Jun lepas.

Mengenai Kembara JOM, Adam Adli menyatakan bahawa kos sara hidup, peluang pekerjaan, dan pendidikan merupakan antara isu yang kerap dibincangkan oleh golongan belia semasa program tersebut dijalankan di sembilan negeri termasuk Pahang.

Sebagai Timbalan Menteri Belia dan Sukan, beliau menekankan bahawa segala pandangan dan maklum balas dari golongan belia semasa program ini akan diberi perhatian serius oleh kementerian untuk merangka dasar masa hadapan.

“Di pihak kementerian, platform Kembara JOM ini adalah antara jalan untuk kita mengumpul input secara langsung… kita kumpul pandangan secara dialog dan kita juga ambil survei menerusi QR untuk dijadikan rumusan terutama belanjawan akan datang,” katanya.

Adam Adli menambah bahawa inisiatif ini adalah usaha Kementerian Belia dan Sukan melalui Pejabat Pendaftar Pertubuhan Belia serta Jabatan Belia dan Sukan Negara untuk membolehkan pihak berkepentingan menyampaikan maklum balas dan pandangan terhadap draf Pelan Transisi Kepimpinan Belia secara terus kepada pihak berkuasa tertinggi kementerian.

Beliau juga menegaskan bahawa maklum balas dan pandangan dari program ini akan membantu merumuskan pelan tersebut yang menjadi asas untuk pelaksanaan pindaan Akta Pertubuhan Belia dan Pembangunan Belia 2007 (Akta 668).

Selanjutnya daripada Warta Malaysia