598 VVIP, ahli parlimen dan ADUN gagal caruman PERKESO pekerja domestik – Ramanan

KUALA LUMPUR: Seramai 598 individu berprofil tinggi, termasuk VVIP, ahli parlimen dan ahli dewan undangan negeri (ADUN), dikenal pasti gagal memenuhi obligasi Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) terhadap pekerja domestik mereka.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri R Ramanan, berkata mereka antara 10,033 majikan pekerja domestik yang dikesan tidak mematuhi kewajipan pendaftaran atau caruman, berdasarkan semakan PERKESO setakat 1 November.
Menurut beliau, 26,669 majikan lain pula mempunyai tunggakan caruman yang memerlukan semakan dan tindakan susulan.
Ketika ditanya sama ada individu berprofil tinggi itu termasuk menteri, Ramanan berkata senarai berkenaan lebih luas daripada itu. Beliau bercakap selepas majlis penyerahan faedah PERKESO kepada waris mangsa banjir dan tanah runtuh di Nepal di sini, hari ini.
Ramanan menegaskan pangkat, pengaruh atau kedudukan seseorang tidak boleh dijadikan alasan untuk mengabaikan tanggungjawab sebagai majikan.
"Kita tidak boleh bercakap tentang kebajikan dan hak pekerja jika kita gagal memenuhi tanggungjawab paling asas terhadap pekerja di rumah sendiri," katanya.
"Kepimpinan melalui teladan mesti bermula dengan mematuhi undang-undang," tambah beliau.
Beliau berkata, PERKESO telah diarahkan meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan tanpa kompromi, termasuk mengambil tindakan sewajarnya terhadap majikan yang gagal menunaikan kewajipan.
Pekerja domestik, katanya, bukan sahaja merujuk kepada pembantu rumah, malah merangkumi tukang kebun, pemandu, penjaga warga emas dan pengasuh yang memainkan peranan penting dalam sesebuah isi rumah.
Majikan diberi tempoh sehingga 7 Disember untuk menyelesaikan caruman tertunggak. Mereka yang gagal berbuat demikian akan berdepan tindakan undang-undang, bermula dengan kompaun, diikuti kemungkinan denda sehingga RM10,000, penjara atau kedua-duanya sekali.
Ramanan turut memberi amaran bahawa nama majikan terbabit akan didedahkan kepada umum jika tiada tindakan lanjut diambil menjelang tarikh akhir itu.




