Konduktor bas wanita meninggal dunia selepas ditolak keluar dari bas di Telangana

NEW DELHI: Seorang konduktor wanita berusia 24 tahun di negeri Telangana, India, meninggal dunia di sebuah hospital di Hyderabad selepas didakwa ditolak keluar dari bas yang sedang bergerak akibat pertengkaran mengenai tambang dan baki wang.
Menurut laporan agensi IANS, Gundla Pravalika, konduktor Perbadanan Pengangkutan Jalan Raya Negeri Telangana (TGSRTC), menghembuskan nafas terakhir lewat malam Selasa di sebuah hospital swasta selepas menjalani rawatan selama 10 hari. Beliau bertugas di depoh Manuguru di daerah Bhadradri Kothagudem.
Kejadian berlaku pada 25 Oktober berhampiran kampung Mittagudem. Seorang penumpang wanita, yang dikenali sebagai Mounika, didakwa menolak Pravalika keluar dari bas selepas bertengkar mengenai tambang untuk anaknya dan baki wang yang perlu dikembalikan.
Penumpang itu menyerahkan not 100 rupee, tetapi Pravalika tidak mempunyai wang pecahan lalu memintanya mengambil baki kemudian. Hal itu mencetuskan pertengkaran sengit sebelum penumpang itu didakwa menolaknya keluar.
Pravalika terjatuh ke jalan dan roda belakang bas melanggar kaki kanannya hingga hancur, selain kaki kirinya turut cedera parah. Beliau dibawa ke hospital di Bhadrachalam sebelum dipindahkan ke Hyderabad untuk rawatan lanjut. Polis menahan penumpang berkenaan dan membuka kes.
Ketua Menteri Telangana, A. Revanth Reddy, menzahirkan rasa dukacita serta menyampaikan takziah kepada keluarga mangsa, dan memberi jaminan kerajaan negeri akan berdiri bersama keluarga itu. Menteri Pengangkutan, Ponnam Prabhakar, yang melawat mangsa beberapa hari lalu, berkata tindakan tegas sedang diambil terhadap pihak yang bertanggungjawab.
Kerajaan negeri mengumumkan pemberian ex gratia 10 lakh rupee kepada keluarga mangsa, sebuah rumah di bawah skim ‘Indiramma Indlu’ dan pekerjaan kerajaan untuk ibunya.
Sementara itu, pekerja TGSRTC mengadakan bandh atau mogok di seluruh daerah Khammam yang belum dipecahkan pada Rabu, selepas seruan Jawatankuasa Tindakan Bersama pekerja. Perkhidmatan bas terhenti dan pekerja turut berhimpun di beberapa tempat, menuntut hukuman setimpal terhadap penumpang yang didakwa bertanggungjawab.
Foto: Сергей Черный / Wikimedia Commons (CC BY-SA 3.0)




