Pelaburan tambahan AS$15 bilion Google dorong agenda digital negara – Anwar

PETALING JAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengalu-alukan tambahan pelaburan AS$15 bilion oleh Google di Malaysia dalam tempoh dua tahun akan datang, dengan menegaskan negara memiliki kestabilan, bakat dan iltizam untuk menjadi kuasa digital terkemuka di Asia Tenggara.
Beliau berkata pelaburan langsung asing (FDI) amat penting kepada dinamisme ekonomi negara, selain aliran modal sebesar itu menjadi bahan bakar utama bagi pengembangan ekonomi serta memperkukuh kedudukan Malaysia dalam ekonomi digital global.
“Ia membina aset fizikal terkini, menunjukkan keyakinan kedaulatan kepada pasaran global dan meletakkan kedudukan kita di barisan hadapan revolusi kecerdasan buatan (AI) global,” katanya dalam ucaptama pada program Mantap Malaysia Bersama AI di Universiti Malaya di sini, hari ini.
Anwar berkata di bawah kerangka Ekonomi MADANI dan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, matlamatnya adalah memastikan pelaburan sedemikian selaras dengan matlamat pembangunan negara yang lebih luas.




