KUALA LUMPUR: Empat orang Ahli Parlimen membidas Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) yang terus mendakwa kemungkinan Pilihan Raya Umum (PRU) mengejut akan diadakan tahun ini, walaupun penggal pentadbiran kerajaan perpaduan dijangka tamat pada 2027.
Mereka menganggap dakwaan tersebut sebagai tidak bertanggungjawab dan cuba menggugat kestabilan politik negara, yang mana telah dilarang oleh Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim melalui titahnya tahun lalu.
Dalam titah pada 26 Februari 2024, Agong menegaskan bahawa baginda tidak akan melayan sebarang usaha yang cuba mengganggu kestabilan politik negara dan menyeru agar pembentukan kerajaan perpaduan dihormati.
Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer dari DAP, menyifatkan dakwaan Setiausaha Agung Bersatu, Azmin Ali, sebagai tidak menghormati titah Agong dan menunjukkan Bersatu semakin hilang fokus serta lebih cenderung untuk menggugat kestabilan negara.
“Mereka dah hilang modal dan tumpuan…jadi setiap hari duduk bincang bagaimana nak wujudkan suasana tak stabil,” katanya.
Azmin Ali dalam satu hantaran di Facebook pada Jumaat lalu mendakwa Presiden Bersatu, Muhyiddin Yassin, telah mengarahkan jentera parti untuk bersiap sedia menghadapi kemungkinan PRU mengejut hujung tahun ini.
Beliau juga menyebut bahawa hasil pertemuan dengan PAS, Bersatu yakin perkembangan tersebut memberi petunjuk bahawa PRU mungkin diadakan sebelum penggal kerajaan tamat.
Sebelumnya, pada November tahun lalu, Azmin turut menyarankan agar ahli Bersatu bersiap sedia untuk PRU mengejut.
Bagaimanapun, Perdana Menteri Anwar Ibrahim pada 16 Disember 2022 telah menegaskan keyakinannya bahawa kerajaan perpaduan yang dipimpinnya akan kekal stabil sehingga tamat penggal pada 2027 susulan perjanjian persefahaman permuafakatan dimeterai lima gabungan parti politik.
Lima gabungan dan parti itu terdiri daripada Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN), Gabungan Parti Sarawak (GPS), Gabungan Rakyat Sabah (GRS), dan Warisan.
Ahli Parlimen Bangi, Syahredzan Johan dari DAP, menegaskan tiada keperluan untuk PRU mengejut diadakan kerana kerajaan pimpinan Anwar berada dalam keadaan stabil dan kukuh.
“Nasihat saya kepada Bersatu dan Perikatan Nasional (PN) supaya lebih baik fokus pada rakyat serta negara…jangan asyik berbicara tentang pilihan raya. Omong-omong kosong seperti ini tidak membawa faedah,” kata wakil DAP itu.
Wakil rakyat Kinabatangan, Bung Moktar Radin dari BN, pula mempersoalkan dakwaan tersebut, kerana pembubaran Parlimen hanya boleh dilakukan dengan perkenan Agong setelah mendapat permohonan daripada Perdana Menteri.
“Saya keliru kerana biasanya pemimpin pemerintah kerajaan yang ada kuasa minta, tapi kenyataan ini bertentangan pula (dibuat pembangkang)…ini boleh dikatakan provokasi politik,” katanya.
Ahli Parlimen Shah Alam, Azli Yusof dari Amanah, turut menyifatkan kenyataan Azmin itu tidak berasas kerana tiada alasan yang kukuh untuk memerlukan PRU dalam masa terdekat.
“Lainlah kalau perdana menteri sebut, baru ada kesan. Saya kira Bersatu sekarang ini dalam keadaan lemah dan mungkin ini cara nak kejutkan jentera yang lesu,” katanya.
Sementara itu, Ahli Parlimen Segamat, R Yuneswaran dari PKR, mendakwa kenyataan Bersatu itu bertujuan mengalihkan perhatian daripada perpecahan yang berlaku dalam parti tersebut.
Namun, wakil dari blok kerajaan, Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Karim, berpendapat tiada yang luar biasa mengenai kemungkinan PRU diadakan pada hujung tahun ini.
“Tugas pemimpin parti untuk sentiasa ingatkan jentera parti berada dalam keadaan siap sedia, tiada yang pelik, bukan Azmin sahaja minta Bersatu siap sedia untuk pilihan raya.
“Malah, Anwar selaku presiden PKR juga telah menggerakkan jentera dari peringkat atas hingga ke ranting untuk menghadapi PRU,” katanya.