KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengarahkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk membatalkan lesen bazar Ramadan yang dikeluarkan sekiranya didapati ada peniaga yang memindahkan lesen mereka kepada pihak lain.
Menurut Anwar, isu memindahkan lesen adalah salah satu aspek tatakelola yang perlu diberi perhatian serius dan memerlukan penguatkuasaan yang lebih ketat.

“Bayangkan orang nak berniaga bulan Ramadan untuk mendapat hasil dan upah yang lebih tinggi, untuk persiapan keluarga, itu masih ada (isu tatakelola yang berlaku).
“Saya ucapkan terima kasih kepada DBKL kerana kadar (bayaran lesen) itu dikurangkan, tapi kena pastikan siapa yang dapat lesen… dia kerja, kalau dia pindahkan lesen itu, batal segera,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.