KUALA LUMPUR: “Saya boleh guna selagi saya menjadi Perdana Menteri tetapi selepas itu kena serah balik kepada negara,” kata Datuk Seri Anwar Ibrahim berhubung kenderaan elektrik (EV) yang dihadiahkan Presiden Turkiye, Recep Tayyip Erdogan kepadanya.

Kenderaan berjenama TOGG keluaran Turkiye itu diterimanya baru-baru ini sebagai tanda persahabatan antara kedua-dua negara.

Anwar berkata, beliau berpeluang menggunakan kenderaan tersebut untuk meninjau persiapan menyambut kehadiran Presiden Erdogan di Malaysia.

“Semalam, saya kebetulan cuba mobil EV yang dihadiahkan oleh Presiden Turkiye…beliau hadiahkan kepada Perdana Menteri tapi bagi saya kepada negara, ia bukan hak saya,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di sini, hari ini.

Dalam perjalanan ke Kompleks Sri Perdana, Anwar turut meluahkan rasa penghargaan terhadap penjawat awam yang bertungkus-lumus membuat persiapan untuk lawatan rasmi Presiden Turkiye.

Beliau turut mengakui kerja keras pelbagai agensi, termasuk Kementerian Luar, Jabatan Perdana Menteri, polis, dan bahagian pendidikan yang terlibat dalam acara tersebut.

Justeru, beliau amat menghargai segala kerja-keras dan pengorbanan penjawat awam yang bertungkus-lumus mempersiapkan sambutan berkenaan.

Pada masa yang sama, Anwar menegaskan bahawa Malaysia memanfaatkan peluang sebagai Pengerusi ASEAN untuk membuktikan kecekapan penjawat awam dalam menguruskan ratusan program secara berkesan.

Menurutnya, pengurusan ASEAN bukan hanya soal kedudukan, tetapi lebih kepada keupayaan penjawat awam untuk memastikan pentadbiran negara berjalan lancar.

“Ini tentunya memerlukan penugasan yang lebih daripada biasa. Tahap persiapan kita bagi acara itu di antara yang terbaik yang saya saksikan.

“Walaupun tidak semewah beberapa negara, tetapi tahap kecekapan, disiplin dan kerapian itu sangat membanggakan,” katanya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia