KUALA LUMPUR: Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, memperoleh kebenaran daripada Mahkamah Tinggi di sini hari ini untuk memulakan prosiding komital terhadap blogger Papagomo, atau nama sebenarnya Wan Muhammad Azri Wan Deris, kerana didakwa tidak mematuhi perintah mahkamah.
Pesuruhjaya Kehakiman, Gan Techiong, membuat keputusan tersebut selepas mendengar permohonan ex-parte (sebelah pihak) oleh peguam, Raam Kumar dan Norleena Jamal, yang mewakili Razarudin.
“Tarikh pendengaran permohonan komital inter-parte (kedua-dua pihak) akan ditetapkan kemudian,” kata Gan.

Prosiding komital ini bertujuan untuk memulakan tindakan undang-undang terhadap individu yang didakwa menghina mahkamah dengan melanggar perintah yang telah dikeluarkan.
Pada 24 Januari lalu, Razarudin memfailkan permohonan komital terhadap Wan Muhammad Azri dengan tujuan untuk memohon agar defendan dipenjara atau didenda atas tuduhan menghina mahkamah kerana gagal mematuhi perintah injunksi yang dikeluarkan oleh mahkamah pada 10 Januari.
Ini berikutan tindakan Wan Muhammad Azri yang didakwa membuat hantaran terhadap Razarudin di platform media sosial seperti YouTube, TikTok, X, dan Telegram.
Pada 10 Januari, mahkamah mengeluarkan perintah injunksi yang melarang Wan Muhammad Azri atau wakilnya daripada menerbitkan atau menyiarkan kenyataan fitnah terhadap Razarudin di semua platform media sosial sehingga perbicaraan kes saman tersebut diputuskan.
Selain itu mahkamah turut mengeluarkan perintah injunksi yang melarang dan menghalang defendan atau wakilnya daripada menerbit atau menyebabkan penerbitan semula kenyataan, video dan status serta komen atau sebarang bentuk rujukan kepada plaintif.
Kenyataan, video status serta komen itu berkenaan kedudukan Razarudin sebagai Ketua Polis Negara dan secara peribadi sama ada secara bertulis, lisan atau dalam talian di platform media sosial dan melalui aplikasi pesanan ringkas, seperti Telegram dan WhatsApp.
Mahkamah turut mengeluarkan perintah agar Wan Muhammad Azri menarik balik, menurunkan dan memadamkan penerbitan video di media sosial seperti YouTube, TikTok, Facebook, Telegram, dan X yang mengandungi kenyataan fitnah terhadap Razarudin.
Selain itu, pada 26 Disember lalu, Razarudin memfailkan saman bernilai RM3 juta terhadap Wan Muhammad Azri kerana dakwaan memfitnah yang turut melibatkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.