KUALA LUMPUR: Penganalisis politik meragui potensi empat menteri besar PAS untuk menjadi calon perdana menteri, berdasarkan prestasi pentadbiran di negeri masing-masing.

Memetik laporan daripada portal berita Free Malaysia Today (FMT), ahli Majlis Profesor Negara (MPN), Prof Madya Dr Azmi Hassan berpendapat Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu tidak menunjukkan perbezaan ketara berbanding negeri di bawah pentadbiran Pakatan Harapan dan Barisan Nasional.

“Ia akan menakutkan mereka yang nak sokong Perikatan Nasional (PN) kerana Perlis, Kedah, Kelantan dan Terengganu yang dipimpin empat menteri besar ini tak menunjukkan apa-apa perbezaan dan perubahan yang lebih baik,” katanya.

Beliau mengulas cadangan Naib Ketua Pemuda PAS Pulau Pinang, Muhamad Hafis Alias yang mengetengahkan nama Menteri Besar Perlis, Mohd Shukri Ramli; Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor; dan Menteri Besar Kelantan, Datuk Mohd Nassuruddin Daud sebagai calon berpotensi.

Penganalisis dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Dr Syaza Shukri pula mempertahankan pilihannya terhadap Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar atas dasar populariti dan penerimaan orang ramai.

“Kalau tanya dalam PN, mungkin Azmin Ali (setiausaha agung Bersatu),” ujarnya.

Sementara itu, penganalisis UIAM, Dr Lau Zhe Wei berpendapat hanya Ahmad Samsuri yang mempunyai imej profesional dan popular di kalangan empat menteri besar tersebut.

“PAS mungkin sedar kalau Hadi Awang jadi calon perdana menteri, dia dilihat bukan teknokrat, mungkin tak pandai tadbir nagara, memang pakar bidang Islam tapi bukan pentadbiran negara,” tambahnya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia