KUALA LUMPUR: Pada 28 Februari 2025, bersamaan dengan 29 Syaaban 1446H, tarikh melihat anak bulan Ramadan akan dijalankan bagi menentukan permulaan bulan puasa bagi umat Islam di Malaysia.

Mufti Pahang, Prof Datuk Dr Asmadi Mohd Naim, berkata bahawa tarikh permulaan puasa dijangka pada 1 atau 2 Mac, bergantung kepada penampakan anak bulan tersebut.

“Di Pahang, pencerapan anak bulan akan dilakukan di tiga tempat iaitu Menara 188 Kuantan, Nenasi dan Cameron Highlands.

“Bagaimanapun, hanya Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja layak untuk mengumumkan tarikh sebenar permulaan puasa,” katanya.

Sementara itu, Persatuan Ulama Malaysia (PUM) berkata, penetapan tarikh berpuasa di negara ini menggunakan kaedah berdasarkan rukyah dan hisab, namun memerlukan perkenan oleh Majlis Raja-Raja (MRR).

Setiausaha Agung PUM, Prof Dr Mohd Roslan Mohd Nor, berkata jika anak bulan tidak kelihatan, tarikh permulaan puasa boleh ditentukan berdasarkan hisab.

“Jika hisab menunjukkan kemungkinan penampakan anak bulan melebihi tahap darjah penampakan sepatutnya, ia boleh diputuskan untuk berpuasa.

“Sekiranya hisab tidak memungkinkan penampakan anak bulan, boleh berpuasa pada hari berikutnya.

“Data rukyah atau pencerapan anak bulan akan dibincang dan dipersembah untuk persetujuan MRR.

“Ia tetap memerlukan perkenan MRR dan kita menggunakan kaedah ini sejak sekian lama,” katanya sambil menjelaskan proses rukyah perlu dihormati kerana dilakukan oleh ahli-ahli Falak di bawah Jabatan Mufti Negeri-Negeri.

Mengikut kiraan yang diterbitkan oleh Jabatan Ukur dan Pemetaan Malaysia (JUPEM) dalam Almanak Falak Syarie Malaysia (AFSM), tarikh melihat anak bulan Ramadan dijadualkan pada 28 Februari 2025, manakala permulaan bulan Ramadan dijangka bermula pada 2 Mac 2025.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia