KUALA LUMPUR: Persaingan sengit dari bandar-bandar di sempadan Thailand antara faktor yang menyebabkan bandar seperti Rantau Panjang dan Pengkalan Kubor di Kelantan semakin sepi, kata Timbalan Menteri Besar, Datuk Dr Mohamed Fadzli Hassan.

Menurut beliau, bandar-bandar sempadan tersebut tidak lagi menjadi lokasi utama bagi mendapatkan barangan murah, sekali gus mengurangkan daya tarikan kepada pengunjung.
“Bandar itu bukan hanya sempadan negeri Kelantan tetapi juga sempadan negara dan malangnya bandar sempadan Thailand jauh lebih tersusun dan hal ini telah saya ketengahkan dalam mesyuarat yang dipengerusikan Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim),” katanya kepada pemberita pada Majlis Mahabbah Kepimpinan Kerajaan Negeri Bersama Media di sini malam tadi.
Beliau turut memaklumkan bahawa kerajaan negeri Kelantan telah mengemukakan permohonan kepada kerajaan Persekutuan untuk memberi perhatian terhadap pembangunan dua bandar sempadan tersebut dan mendapat maklum balas positif.
“Kita diminta untuk menyediakan tapak baharu bagi dijadikan kawasan bebas cukai,” katanya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada kerajaan Persekutuan atas peruntukan yang telah diberikan bagi tujuan pembangunan bandar sempadan.
“Kita ucapkan terima kasih kerana beberapa peruntukan telah diterima untuk usaha itu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memberitahu bahawa kerajaan negeri juga telah mengenal pasti lokasi baharu bagi pembangunan zon bebas cukai di Rantau Panjang dan proses pengambilalihan tanah untuk projek tersebut akan dilakukan segera.
Rantau Panjang, yang terkenal sebagai zon bebas cukai dan destinasi membeli-belah utama di Kelantan, kini memerlukan lebih banyak tarikan pelancongan untuk merancakkan semula ekonomi tempatan serta menarik lebih ramai pelawat.
Peniaga dan penduduk setempat berpendapat bahawa tanpa inovasi dan tarikan baharu, bandar tersebut akan terus bergantung semata-mata kepada aktiviti jual beli, sedangkan kawasan itu berpotensi besar untuk berkembang sebagai pusat pelancongan yang lebih menarik.