KUALA LUMPUR: Kementerian Perdagangan dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan telah menahan seorang kontraktor di sebuah stesen minyak di Wakaf Aik, Tawang di Bachok, malam tadi kerana melakukan pembelian diesel menggunakan 15 tong tanpa permit.

Memetik laporan Malaysiakini, Pengarah KPDN Kelantan, Azman Ismail, menyatakan bahawa lelaki berusia 29 tahun itu ditahan pada jam 9 malam oleh pasukan petugas yang sedang melakukan pemantauan di stesen tersebut.

Kontraktor tersebut telah membuat pembelian diesel selepas beberapa jam pengumuman kerajaan mengenai pelaksanaan harga diesel tanpa subsidi pada kadar RM3.35 se liter.

“KPDN mendapati kontraktor itu datang ke stesen minyak berkenaan menggunakan kereta pacuan empat roda jenis Toyota Hilux,” katanya.

KPDN turut merampas 15 tong diesel dan enam daripadanya telah diisi dengan diesel, setiap satu tong mengandungi 25 liter diesel.

Suspek menggunakan kad debit untuk pembelian diesel tersebut, dan siasatan sedang dijalankan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 kerana tujuan pembelian diesel adalah untuk aktiviti pertanian.

Sementara itu, KPDN juga menyita dokumen stesen berkenaan kerana mengenakan pembelian diesel bersyarat, iaitu maksimum RM100 untuk setiap kenderaan. Pengusaha stesen menggunakan alasan diesel tidak mencukupi.

Semalam, Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan telah mengumumkan harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung pada kadar RM3.35 se liter, iaitu harga pasaran tanpa subsidi bermula 12.01 tengah malam.

Keputusan ini berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula Automatic Pricing Mechanism.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia