Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, telah menyerahkan sepenuhnya kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), untuk menyiasat dakwaan pegawai kanan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang didakwa mengutip sogokan secara bulanan.
Beliau menekankan pentingnya menjaga tatakelola dan integriti dalam melaksanakan tugas.
“Akhirnya kita lihatlah apa siasatan SPRM nanti, tidak kira (melibatkan) kesalahan apa (sama ada) ambil insentif atau mana-mana tatakelola yang tidak bagus.
“Dalam budaya kerja, saya sering mengingatkan dan menekankan nilai integriti kerana pada akhirnya kita mahu memberi khidmat yang terbaik kepada rakyat dan memastikan tiada yang mengambil peluang, menggunakan kedudukan atau (mengamalkan) tatakelola yang tidak baik,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas melancarkan Inisiatif Waste-To-Wealth Wilayah Persekutuan dilancarkan hari ini di Perumahan Awam (PA) Seri Pulau Pinang di Kuala Lumpur.
Turut hadir ke majlis perasmian ialah Ahli Parlimen Bandar Tun Razak Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
Hari ini, media melaporkan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menahan seorang pegawai kanan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) yang berusia dalam lingkungan 40-an pada Khamis lepas.
Tindakan penahanan tersebut dilakukan dalam usaha membantu siasatan terhadap dakwaan mengutip sogokan bulanan daripada perniagaan yang dikendalikan oleh warga asing di pusat bandar raya ini.
Tindakan ini menunjukkan komitmen SPRM dalam memerangi rasuah dan menegakkan integriti dalam pentadbiran awam.