Kuala Lumpur: Seorang pramugari telah ditahan kerana dituduh menyeludup hampir satu kilogram (kg) emas dari Muscat, Oman ke Kannur,India, dengan menyembunyikannya di dalam dubur.

Menurut sumber dari Direktorat Perisikan Hasil (DRI), taktik yang digunakan oleh wanita tersebut terbongkar selepas penyiasatan khusus dilakukan oleh pasukan DRI Cochin.

Wanita yang dikenali sebagai Surabhi Khatun itu ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kannur sebaik tiba dari Muscat pada 28 Mei lalu.

“Pemeriksaan lanjut mendapati 960 gram (g) emas cuba diseludup dalam bentuk kompaun, yang disorokkan dalam duburnya.

“Selepas disoal siasat dan melengkapkan proses lain diperlukan, wanita itu dibawa ke mahkamah majistret dan direman 14 hari di penjara wanita di Kannur,” kata sumber itu kepada Press Trust of India.

“Siasatan terperinci telah bermula dan bukti yang dikumpul setakat ini menunjukkan suspek pernah menyeludup emas beberapa kali sebelum ini.

“Kita juga sedang menyiasat pembabitan kumpulan penyeludupan yang berpangkalan di Kerala yang berkemungkinan terkait aktiviti itu,” katanya.

Selanjutnya daripada Warta Malaysia