Rabu, 25 November 2026
TERKINI
Pengecualian visa warga India tamat 1 Januari 2027, permohonan dibuka 1 DisemberMCA persoal kesediaan sekolah terima murid enam tahun, bimbang tekanan sistem pendidikanKLK catat kerugian bersih RM118.4 juta bagi FY26 selepas peruntukan rosot nilai RM1.61 bilionBas Kementerian Kesihatan terbakar berhampiran R&R Senawang, 14 penumpang selamatHarga RON97, RON95 dan diesel tanpa subsidi turun 25 sen seliter mulai 26 NovemberUntung bersih TM suku ketiga susut 28 peratus kepada RM494 jutaTiada rancangan bubar DUN Pahang, kata Wan RosdyLebih 200,000 pelarian masih di Malaysia, Syed Saddiq persoal 'transit sampai bila?'Amir Hamzah dilapor pertimbang sertai Maybank selepas tamat tempoh senatorPenduduk Pulau Pinang diminta bersiaga, air pasang besar dijangka cecah 2.71 meter

Syarikat baharu uruskan tanah hutan RAPP di Riau ialah unit Danantara, kata dokumen

JAKARTA: Syarikat Indonesia yang baharu dilantik untuk menguruskan konsesi yang dirampas daripada anak syarikat sebuah konglomerat berpangkalan di Singapura ialah unit dana kekayaan negara Danantara, menurut satu dokumen yang disemak. Ia menjadikan kawasan itu rampasan tanah negara tunggal terbesar yang dikaitkan dengan kebakaran hutan tahun ini.

Kerajaan Indonesia minggu lalu membatalkan permit penggunaan hutan PT Riau Andalan Pulp and Paper (RAPP), anak syarikat Royal Golden Eagle yang beribu pejabat di Singapura. Permit itu meliputi konsesi seluas 338,536 hektar (836,541 ekar) di wilayah Riau, dengan alasan kebakaran dan pelanggaran lain.

Pada Selasa, diumumkan bahawa kawasan itu akan diuruskan oleh syarikat yang sebelum ini tidak dikenali, PT Garuda Adidaya Nusantara.

Menurut dokumen Kementerian Undang-undang mengenai syarikat itu, Garuda Adidaya dikawal 99 peratus oleh PT Danantara Asset Management dan ditubuhkan untuk menjalankan pelbagai perniagaan perhutanan dan perladangan serta pemprosesan komoditi hutan.

Dokumen itu menunjukkan syarikat tersebut ditubuhkan pada 19 November, hari yang sama kerajaan mengeluarkan dekri membatalkan permit RAPP. Status syarikat itu sebagai unit Danantara dan tarikh penubuhannya belum pernah dilaporkan sebelum ini.

Pengambilalihan itu antara yang paling tinggi profilnya, melibatkan tanah yang sebelum ini digunakan oleh syarikat milik ahli perniagaan terkenal Indonesia, Sukanto Tanoto. Pemberian konsesi itu juga menjadi tanda terbaharu pengaruh Danantara yang semakin besar dalam ekonomi Indonesia sejak dilancarkan awal tahun lalu, dengan ratusan syarikat negara bernilai lebih AS$1 trilion di bawah kawalannya. Langkah itu berlaku ketika Presiden Prabowo Subianto giat meningkatkan kawalan negara ke atas sumber asli negara itu.

"Kami menghormati kuasa kerajaan dan akan terus berinteraksi secara membina dengan pihak berkuasa berkaitan," kata jurucakap RAPP pada Rabu, tanpa menjawab pertanyaan mengenai konsesi yang diuruskan Garuda Adidaya.

Jurucakap itu berkata RAPP yakin ia beroperasi mematuhi semua keperluan peraturan kerajaan dalam pengurusan konsesi hutannya.

Panggilan ke nombor telefon Garuda Adidaya yang tersenarai tidak berjawab, manakala Danantara tidak segera memberi maklum balas kepada permintaan komen.

Kerajaan tempatan Riau menggesa Garuda Adidaya dan pasukan petugas perhutanan kerajaan pusat memberi kejelasan mengenai kesinambungan operasi di konsesi itu dan nasib para pekerja. Pasukan petugas itu sebelum ini berjanji tiada pekerja RAPP akan diberhentikan.

TopikDanantaraRiauRAPPIndonesiaSukanto Tanoto

Foto: Hayden / Wikimedia Commons (CC BY 2.0)

Berita berkaitan